Datuk Seri Najib Razak sentiasa setia kepada bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika beliau menjadi timbalannya dahulu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said berkata Najib enggan mengkhianati Abdullah walaupun dipujuk Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Salleh mengulas cerita Muhyiddin yang mendakwa Najib teragak-agak untuk mengambil langkah menggantikan Abdullah sehingga memaksa Tun Dr Mahathir Mohamad mendesak Muhyiddin bertanding jawatan presiden.

Salleh berkata demikian di dalam posting terbaharu di blognya sskeruak.blogspot.my hari ini berjudul "Tan Sri Muhyiddin is forgetting history."

Menurutnya, Muhyiddin mendakwa Najib mengambil masa terlalu lama untuk membuat keputusan berhubung perkara itu.

"Apa yang Muhyiddin tidak sebut di dalam cerita ini ialah Najib tidak mahu mengkhianati perdana menteri dengan menentangnya.

"Najib rasa seorang timbalan perlu setia kepada ketuanya," kata Salleh dalam posting tersebut.

Menurut Salleh, Muhyiddin terlupa bahawa ketika Dr Mahathir bukan lagi perdana menteri dan mula mengkritik Abdullah yang ketika itu memegang jawatan nombor 1, Najib jugalah yang mengisytiharkan kesetiaan kepada Abdullah.

Menurut Salleh lagi, Muhyiddin langsung tidak berbuat atau berkata apa-apa untuk mempertahankan Abdullah ketika beliau diserang.

"Jadi, bukan Najib yang mengambil masa lama untuk buat keputusan, tetapi lebih kepada Najib tidak mahu menjatuhkan perdana menteri.

"Jika Muhyiddin mahu mengaitkan dengan sejarah, biarlah versi sejarah yang sebenar-benarnya," katanya.

Salleh juga mengingatkan Muhyiddin agar berusaha untuk mendapatkan kepercayaan dan bukannya mendesak jika beliau rasa Najib kini menyisihkannya dan tidak lagi mempertanggungjawabkan beliau untuk mempengerusikan menyuarat seperti dahulu.

Semalam, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata beliau bukan musuh di dalam selimut.

Malah, Ahli Parlimen Pagoh ini mempertahankan tindakannya bersuara sebagai manifestasi kesetiaan terhadap parti.

Bercakap di sesi dialog anjuran Sinar Harian di Johor Baharu pada Sabtu, bekas timbalan perdana menteri itu berkata beliau tidak takut berdepan sebarang kemungkinan, walaupun jika ia memberi kesan kepada kedudukannya di dalam UMNO.