Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin menepis dakwaan beliau menghulurkan wang kepada pengundi Cameron Highlands dan menyifatkannya sebagai berita palsu.

Memetik muat naik dan gambar yang tular di media sosial baru-baru ini, Muhyiddin berkata foto itu diambil sewaktu banjir melanda Pulau Pinang "sebelum Pilihan Raya Umum ke-14" (PRU14) lalu.

Muhyiddin tidak mengesahkan tarikh berlakunya banjir itu namun dipercayai gambar berkenaan diambil ketika banjir di Pulau Pinang pada November 2017.

"Pertama, hari ini baru saya sampai dan turun berkempen di sini. Dan yang kedua, itu berlaku semasa banjir di Pulau Pinang. Jauh sebelum pilihan raya, sama ada di Cameron Highlands, atau PRU14.

"Saya jumpa dengan seorang perempuan tua di situ dan dia cerita rumah dia tenggelam. Saya sedih juga. Saya seluk poket dan bagilah (duit) kepada dia," katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia Kuala Medang di sini pada Jumaat.

Dalam foto tersebut, Muhyiddin dilihat menghulurkan wang kepada seorang wanita berumur di mana sesetengah pihak mendakwa ia berlaku ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

PRK Cameron Highlands pada 26 Jan ini akan menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan M. Manogaran, calon Barisan Nasional Ramli Md Nor serta dua calon BEBAS, Wong Seng Yee dan Sallehudin Ab Talib.