Kenyataan terbaharu Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengenai dakwaan perbincangan beliau dengan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai satu cubaan mengadu domba dan melaga-lagakan Pakatan Harapan.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin berkata kenyataan Nazri adalah satu kenyataan yang berniat jahat dan wajib ditolak.

“Merujuk kepada kenyataan terbaharu Datuk Anwar Ibrahim, beliau mengulangi tekad dan komitmen untuk mempertahankan amanah rakyat kepada PH dan ini adalah pendirian parti yang dipegang.

“Kami yakin akar umbi KEADILAN komited kepada muafakat PH yang dibentuk sebelum 9 Mei,” kata Afif dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Tambahnya, pihaknya juga percaya bahawa majoriti anggota dan rakyat tidak akan bersetuju dengan sebarang bentuk kerjasama politik dengan entiti bernama UMNO selagi mereka tidak benar-benar mendukung prinsip agenda Reformasi.

“Saya sekali lagi menyarankan Mohamed Nazri untuk menghentikan tohmahan dan cubaan untuk mengadu-domba ini,” tegasnya.

Sebelum ini, Mohamed Nazri didakwa menemui Anwar bagi ‘menyelamatkan’ UMNO daripada terus berkubur.

Pertemuan itu dikatakan dibuat ketika minggu kedua sidang parlimen yang lalu di mana Mohamed Nazri telah membuat empat permintaan.