UMNO Perak menerima keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO berhubung pemecatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Gopeng Datuk Hamidah Osman pada Selasa atas laporan pelanggaran disiplin parti.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ia merupakan satu keputusan yang telah diputuskan oleh mesyuarat Majlis Tertinggi dan UMNO negeri telah dimaklumkan tentang perkara itu.

Menurut beliau, laporan itu telah dihantar oleh UMNO Bahagian Gopeng dan dilanjutkan kepada UMNO Pusat.

“Ia adalah sepertimana yang telahpun dibuat oleh Setiausaha Perhubungan UMNO Negeri semalam.. ia merupakan satu keputusan yang telah diputuskan oleh Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

“Kita hanya dimaklumkan tentang keputusan itu. Itu adalah laporan yang dihantar oleh bahagian Gopeng dan diterus kepada pusat,” ujar beliau.

Zambry berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.

Pada Selasa, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamed berkata pemecatan Hamidah daripada parti bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Beliau berkata, ini kerana laporan pelanggaran disiplin parti oleh Hamidah telah dikemukakan oleh UMNO Bahagian Gopeng kepada Lembaga Disiplin Parti.