Kemungkinan penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan memberi impak positif kepada Barisan Nasional, kata penganalisis politik, Dr Jeniri Amir.

Katanya, langkah penambahan yang diambil BN bagi menyekat DAP daripada memperluaskan pengaruhnya ke kawasan separa bandar.

"Seperti yang kita lihat pada pilihan raya negeri lalu pola pengundian, terutamanya di separa bandar, berubah ke pihak pembangkang.

"Hayunan pengundian ini merentasi hampir semua kaum," kata Dr Jeniri kepada Astro AWANI.

Oleh itu, kata beliau, di bawah kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, BN dijangka akan dikekalkan sebagai parti pemerintah di Sarawak.

"Langkah penambahan kerusi ini dilihat sebagai usaha kerajaan negeri untuk merangsang pembangunan di negeri ini," kata Dr Jeniri.

Sementara itu, sejarahwan Dr Suffian Mansor memberi pandangan yang sama berhubung perkara ini.

"Pertambahan kerusi ini akan merancakkan lagi politik Sarawak. Ini kerana beberapa kerusi baru yang ditambah adalah di kawasan di luar bandar," jelas beliau.

Ini, menurut Dr Suffian akan memberi kelebihan kepada BN dan beliau menjangkakan parti itu berpeluang memenangi lebih kerusi di DUN Sarawak.

Sebelum ini, dilaporkan DUN Sarawak meluluskan penambahan 11 kerusi DUN dari 71 kerusi kepada 82 kerusi.

Pilihan raya negeri pada April 2011 menyaksikan BN memenangi 55 kerusi, DAP, 12 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiga kerusi dan satu kerusi dimenangi calon bebas.

Tempoh tamat penggal bagi DUN Sarawak adalah pada April tahun depan.