Barisan Nasional (BN) Perak menyifatkan hasil pertemuan selama lebih tiga jam dengan Pas Perak merupakan sesuatu yang positif dalam usaha membentuk sebuah kerajaan campuran.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi BN Perak, Datuk Saarani Mohamad akui masih belum ada kata putus yang dicapai daripada kedua-dua pihak.

"Ya, (hasil pertemuan) positif. Cuma ia belum ada keputusan muktamad. Kenapa saya kata positif sebab apabila kita adakan perbincangan, tentu kita ada perbincangan yang harmoni dan ambil kira keperluan, untung rugi, masa depan parti dan yang paling penting adalah kebajikan rakyat negeri Perak.

"Apa pun keputusan adalah untuk kebajikan rakyat negeri Perak. Jadi itu adalah perbincangan dengan pihak-pihak yang berkepentingan," katanya selepas pertemuan tersebut di sini, hari ini.

BACA: Kerajaan Perak: Pas jumpa BN, esok mesyuarat pusat

Tambahnya, kedua-dua parti akan mengadakan mesyuarat dan perbincangan di pelbagai peringkat termasuk mendapat persetujuan daripada pucuk pimpinan parti.

Beliau pada masa sama akui tiada sebarang perbincangan dibuat berkenaan pelaksanaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

Kedudukan kerusi DUN Perak ketika ini memihak kepada Pakatan Harapan dengan 29 kerusi manakala BN 27 kerusi dan PAS tiga kerusi.

Namun, angka itu masih belum cukup untuk mana-mana parti untuk menubuhkan kerajaan negeri yang memerlukan sekurang-kuranya majoriti mudah 30 kerusi.