Calon Bebas R. Malarvizhi mendakwa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau tidak lagi menyaksikan pertembungan empat penjuru.

Sebaliknya suri rumah itu menegaskan PRK Rantau ini adalah pertarungan antara dirinya dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Saya diberitahu nombor yang telah diambil yang pada ballot bagi Pakatan Harapan adalah nombor 4.

“Ramai yang mengatakan nombor 4 itu adalah nombor yang tidak baik dan boleh dikatakan dah 'tak ada lagi'.

“Jadi kalau begitu, saya ingin menyingkirkan mereka daripada kempen saya. Jadi sekarang saya dengan Tok Mat (Mohamad) sahaja berjuang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media di pasar Pekan Rantau pada Sabtu.

Selain Malarvizhi dan Mohamad, dua lagi calon yang turut bertanding dalam PRK Rantau adalah calon PH, Dr S Streram dan calon bebas, Mohd. Nor Yassin.

Dalam perkembangan lain, bekas penyampai radio berbahasa Melayu di Toronto, Kanada itu masih belum berjaya mengumpul sebarang dana untuk digunakan sepanjang kempen sehingga 12 April ini.

“Sumbangan setakat ini adalah kosong, tapi tak kecewa sebab saya sedang bekerja jumlah bajet yang ada sekarang.

“Sekarang ini hanya benda-benda kecil sahaja macam kos cetakan, makan, minum dan minyak kereta. Kalau ada sumbangan, saya nak guna untuk cetak poster.. cukup sekadar orang kenal siapa saya,” jelasnya.

Sebagai rekod, Malar dalam manifestonya menggariskan enam perkara yang akan menjadi tumpuan sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat DUN Rantau.

Ia termasuk mempraktikkan budaya kitar semula dalam kalangan masyarakat Rantau.

Perkara lain adalah melakukan baik pulih terhadap infrastruktur, mewujudkan peluang pekerjaan, mengadakan pengangkutan awam yang efisyen, menangani masalah banjir dan membentuk jati diri masyarakat.