Sebarang pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang akan memberikan situasi selesa kepada UMNO, kata Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Jelasnya, simulasi yang dibuat memberi signal UMNO dalam kedudukan selesa berbanding perpecahan yang berlaku di kem pembangkang hari ini.

"Kita kena anggap kerusi satu lawan satu. Berdasarkan kepada satu lawan satu, kita sudah buat segala persiapan bagi menang kawasan itu.

"Bagi saya tiga penjuru tidak begitu diutamakan. Kita harus anggap dan andaikan itu bukan isu," katanya semasa sidang media selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia 2017 di sini hari ini.

BACA: 'PRU14 bakal saksikan pertembungan tiga penjuru' - TPM

BACA: Tidak salah jika UMNO, Pas wujudkan kerjasama menjelang PRU14 - Tengku Razaleigh

Hari Belia Negara merupakan komitmen kerajaan untuk belia seluruh negara dan simbol kerajaan mengiktiraf dan menyedari peranan belia dalam usaha transformasi dalam masyarakat.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata senario politik semasa bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru pada PRU ke-14 akan datang.

Ujarnya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) kini berdepan situasi berbeza berikutan perubahan lanskap politik di negara ini.

Dalam pada itu kata Khairy, UMNO tidak gusar jika berhadapan dengan pertembungan tiga penjuru selain mengakui sudah membuat persediaan rapi untuk pertandingan satu lawan satu kelak.

Dalam perkembangan berasingan, Khairy menjelaskan, sebarang kerjasama politik UMNO dengan Pas mesti diperhalusi selain mengenal pasti asasnya dengan mendalam.

Tegasnya, ia bergantung sepenuhnya kepada perjuangan dalam isu besar membabitkan negara, Melayu dan Islam.

"Cadangan kerjasama itu akan diterokai selagi ia tidak menjejaskan hubungan UMNO dengan komponen dalam BN sendiri.

"Yang paling penting adalah hubungan kita dalam BN. Kita tidak mahu sebarang kerjasama dengan Pas walaupun saya anggap cadangan itu positif namun jika jejaskan hubungan kita dengan parti komponen kita dalam BN, itu kita utamakan," jelasnya.

Sebelum ini, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, kerjasama antara UMNO dan Pas adalah berlandaskan kepentingan Islam dan melayu di negara ini.

Jelas Ahmad Zahid, UMNO tidak memerlukan kerjasama politik dengan Pas namun cukup sekadar bersama dalam memperjuangkan isu berkenaan.