Mohd Rafizi Ramli hari ini menafikan beliau adalah calon PKR untuk pilihan raya kecil negeri bagi Rantau.

Ketua PKR Cabang Pandan itu sebaliknya menegaskan bahawa Dr S. Streram adalah calon paling layak untuk kerusi itu.

Mohd Rafizi berkata kempen dan usaha Dr Streram termasuk memfail bantahan terhadap keputusan pilihan raya itu menjadikannya orang paling layak sebagai calon bagi kerusi itu.

"Tidak, saya telah nyatakan dengan tegas sebelum PR (Pilihan Raya), saya tidak berhasrat memegang sebarang jawatan awam untuk sekurang-kurangnya dua tahun, dan saya fikir parti memahaminya," katanya kepada pemberita pada Kongres Nasional PKR 2018 di sini.


Mohd Rafizi mengulas khabar-khabar angin mengenai pencalonannya itu selepas Mahkamah Pilihan Raya di Seremban semalam mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan bagi kerusi negeri Rantau dalam PRU14 adalah tidak sah dan batal.

Mohamad memenangi kerusi itu tanpa bertanding pada hari penamaan calon pada 28 April selepas calon PKR Dr S. Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana beliau tidak memiliki pas dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (EC).

Terdahulu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengesahkan nama Mohd Rafizi ditimbulkan sebagai calon bagi kerusi berkenaan.

-- BERNAMA