Bendahari UMNO merangkap Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Mohd Salleh Said Keruak akan menjalankan tugas-tugas Pengerusi UMNO Sabah menggantikan Tan Sri Musa Aman bagi tempoh tertentu.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau telah melantik Salleh bagi memberi ruang kepada Musa untuk memberi fokus kepada isu perundangan yang dihadapinya.

Jelas beliau, keputusan tersebut dibuat berdasarkan pelbagai isu dalaman yang melanda UMNO di negeri ini.

"Dalam mesyuarat hari ini, kita telah membuat keputusan untuk melantik (Datuk Seri) Salleh menjalankan tugas-tugas sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah.

"Ini kerana kita yakin Tan Sri Musa Aman akan mefokuskan tentang permasalah perundangan yang beliau tangani terutama dari pemilihan Ketua Menteri Sabah. Justeru, inilah keputusan besar yang kami telah putuskan dalam mesyuarat hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas perjumpaan Perwakilan Negeri secara tertutup di Bangunan UMNO Sabah, pada Isnin.

Terdahulu, bekas Ketua Menteri Sabah itu melalui Peguamnya, Zahir Shah dalam satu kenyataannya baru-baru ini berkata, Musa difahamkan menjalani rawatan yang panjang namun kedudukannya sebenar masih tidak dinyatakan setakat ini.

Menurut Zahir, atas nasihat pasukan perubatan Musa, beliau kini disahkan sedang menjalankan alternatif perubatan dan dijangka akan pulang semula ke negeri ini selepas selesai rawatan berkenaan.

Kehilangan Musa masih berlarutan sehingga hari ini, meskipun Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya di ibu negara berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga itu akan ditangkap selepas beberapa proses melibatkan pihak keselamatan luar negara selesai.

Musa kini diperlukan pihak berkuasa berhubung laporan polis yang dibuat Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berkaitan ugutan jenayah baru-baru ini.