Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin berharap sebarang keputusan parti di masa akan datang, perlu mencapai konsensus dan bukan hanya diketahui segelintir pihak sahaja.

Menurut Ahli Parlimen Ampang itu, keputusan Setiausaha Agung parti, Datuk Saifuddin Nasution baru-baru ini mengumumkan Port Dickson sebagai kawasan parlimen baharu untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim agak dikesali.

Bagaimanapun jelasnya lagi, sebagai seorang ahli yang setia kepada parti, beliau akan tetap memberi sokongan kepada langkah itu.

“Seperti dalam kenyataan saya awal, saya tak dimaklumkan dalam mesyuarat Biro Politik, bagaimanapun perkara ini sudah terjawab apabila satu sidang akhbar telah dibuat.

“Malah Datuk Seri Anwar telah memberikan nota kepada saya mengatakan bahawa dia menawarkan diri untuk bertanding di Port Dickson, dan kita teruskan. Jadi saya dalam semangat sebagai seorang ahli parti yang setia, saya 'move on' dan harap perkara begini tidak berulang lagi,” katanya kepada pemberita.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata demikian selepas melawat tempat kejadian tragedi seorang kanak-kanak yang maut akibat terjatuh dari Aras 17, Blok A, PPR Kota Damansara, baru-baru ini.

Pada Selasa lepas, satu sidang media diadakan bagi mengumumkan kerusi parlimen baharu untuk ditandingi Anwar, sebagai sebahagian langkah pelan peralihan kuasa Perdana Menteri.

Turut menghadiri sidang akhbar, selain Saifuddin, ialah Naib Presiden parti Rafizi Ramli, Ketua Whip Parlimen PKR Datuk Johari Abdul, dan penyandang kerusi Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah.