Sistem Satu Ahli Satu Undi (SASU) hanya akan digunakan untuk pemilihan peringkat cawangan dan bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau menjelaskan sistem SASU dilihat tidak pratikal digunakan bagi pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

Mukhriz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Bersatu menjelaskan jika sistem SASU digunakan untuk memilih MPT tidak ada pihak yang akan bertindak sebagai penyelaras pemilihan.

"Kita melihat dari sudut praktikal, jika sistem SASU mahu digunakan ketika pemilihan MPT, semua mesyuarat bahagian di seluruh negara perlu dibuat serentak.

"Apabila mesyuarat dibuat serentak dan pemilihan juga dibuat, semua ahli dan pemimpin kena keluar membuat pemilihan.

"Jika semua mengundi siapa pulak yang jadi SPR (penyelaras pemilihan)?

“Jadi untuk memilih MPT sistem perwakilan akan digunakan didalam persidangan bahagian," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Khas Bersatu yang diadakan untuk meminda perlembagaan parti tersebut.

Beliau juga menjelaskan sebanyak 80 pindaan dan tambahan kepada fasal tertentu dalam perlembagaan Bersatu telah dibentangkan pada Perhimpunan Agung Khas Bersatu.

Beliau menjelaskan hanya satu pindaan melibatkan keahlian parti sahaja tidak diluluskan pada perhimpunan khas ini.