Barisan Nasional (BN) tetap berpegang kepada misi merampas semula Kelantan daripada genggaman Pas.

Ketegasan itu disuarakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Kenyataan itu sekali gus menepis segala spekulasi dan andaian bahawa wujud pakatan sulit antara BN dan Pas menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Cakap-cakap politik serta spekulasi tersebut dilihat strategi perang saraf melemahkan jentera BN terutama dalam usaha melumpuhkan Pas dalam pesta demokrasi itu nanti.

“Itu adalah satu dakyah strategi politik lawan yang dilemparkan untuk menunjukkan kita tidak serius hendak lawan itu tidak benar

"Saya selaku pengerusi bertekad nak menangkan Kelantan. Itu adalah komitmen BN tidak benar berlaku pergeseran seolah-olah PM Najib ada pakatan dengan Pas untuk bagi laluan mudah menggambarkan kita serius itu tidak benar,” katanya.

Tambahnya, beliau tidak mempunyai pergeseran dengan Datuk Seri Najib seperti yang didakwa bekas Ketua Pengarang Kumpulan News Straits Times, Datuk A Kadir Jasin seperti yang disiarkan dalam sebuah portal berita baru-baru ini.