Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri ketujuh dan berharap beliau diberi kesihatan yang baik.

Menerusi satu kenyataan Tweet, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu melahirkan doa buat Perdana Menteri agar diberikan kesihatan yang baik dan dapat meneraju negara dengan sempurna.


“Tahniah buat YAB Tun Dr Mahathir Mohamad atas perlantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke 7.

“Semoga diberikan kesihatan yang baik dan dapat meneraju negara dengan sempurna seiring ke arah negara maju,” tweet beliau, hari ini.

Zahid juga berharap amanah yang dimandatkan kepada Mahathir akan dipikul dengan penuh tanggungjawab.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang berlangsung pada Rabu, PH memenangi 113 daripada 222 kerusi Parlimen bagi membentuk sebuah Kerajaan Persekutuan yang baharu.