Seorang atlet yang bakal mewakili Sarawak dalam acara kapal layar pada Sukan Malaysia (Sukma) maut dalam kemalangan di Jalan Marina Bay berhampiran pelabuhan kapal layar pada 4.15 petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Miri Supt Stanley Johnathan Ringgit berkata mangsa Muhammad Syafiq Halias, 15, yang menunggang motosikal jenis Honda bersama rakannya yang juga pembonceng Muhammad Syafiq Hasnan, 15, sedang dalam perjalanan untuk menghadiri latihan apabila motosikal dinaiki mereka tiba-tiba
terbabas.

"Ketika sampai di satu selekoh, motosikal dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang di tepi jalan...penunggang maut di tempat kejadian manakala pembonceng cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Miri," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata kedua-dua yang terlibat dalam kemalangan itu adalah atlet kapal layar Sukma Sarawak berasal dari Miri.

Bandaraya Miri akan menjadi gelanggang acara karate, sukan layar dan sepak takraw pada temasya sukan tersebut, yang akan berlangsung dari 22 hingga 31 Julai ini.