Ejen kepada Leonardo Bonucci berkata 'kita hanya perlu tunggu' dicelah-celah spekulasi bahawa pemain pertahanan Juventus itu semakin hampir untuk perpindahan mengejutkan ke AC Milan.

Pemain Itali itu didakwa telah mencapai persetujuan peribadi dengan Rossoneri, dengan kelab itu masih berbincang dengan nilai perpindahan.

Menurut laporan di Itali, Juve mahukan EUR40 juta ke atas pemain berusia 30 tahun itu, walaupun khabar angin mengatakan ia turut melibatkan pertukaran pemain, sama ada Mattia De Sciglio atau Alessio Romagnoli.

Ejen Bonucci, Alessandro Luci, enggan menafikan perjanjian berkenaan selain tidak memberi bayangan mengenai perkembangan perpindahan itu.

"Tidak ada sebarang jawapan ketika ini," katanya kepada Calciomercato.com.

"Kita perlu tunggu."

Perpindahan itu akan menjadi langkah yang mengejutkan oleh Milan selepas membuat pelaburan besar dalam membina sebuah skuad yang mampu kembali beraksi dalam kancah Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Bonucci sempat dikaitkan dengan Manchester City dan Chelsea, musim lalu, dan masa depannya di Turin dalam keraguan susulan perbalahannya dengan ketua jurulatih, Massimiliano Allegri dalam perlawanan Serie A dengan Palermo, Februari lalu.

Dia diketepikan dalam aksi UCL bertemu Porto sebelum kedua-duanya menjernihkan keadaan lalu Bonucci kembali dalam skuad utama.

Semalam, Bonucci memuat naik status dalam laman sosial Instagram peribadinya, "Ayuh kembali bekerja. Sedia untuk bermula semula!" di samping sebuah gambar dengan teks warna Juventus.