Pada usia 93 tahun dan jelas masih aktif dan kuat, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sebenarnya bukanlah seorang yang aktif bersukan.

Mengakui ia bercanggah dengan galakan sentiasa bersenam untuk kekal sihat dan cergas, Perdana Menteri secara berseloroh meminta rakyat Malaysia supaya tidak mencontohinya dalam perlakuan berkenaan.

"Saya tak guna otot dan tubuh badan saya seperti yang saya nasihat orang lain (supaya bersenam), orang lain patut buat apa yang saya tak buat.

"Jangan ikut Dr Mahathir, dia suruh orang bersukan, (tapi) dia tak bersukan," katanya semasa berucap pada sambutan Hari Sukan Negara di Bandar Sukan Kuala Lumpur, di Bukit Jalil hari ini.

Hadir sama isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyertai ribuan rakyat pelbagai lapisan yang datang sejak awal pagi.

Dr Mahathir berkongsi pengalaman bahawa beliau bermain sukan ragbi ketika bersekolah.

BACA: Tun Mahathir dedah kenapa suka sukan ragbi

Perdana Menteri berkata beliau terlibat dengan sukan itu kerana berasakan ia hanya memerlukan keberanian untuk 'berkelahi' di atas padang.

"Tetapi sekarang ini tidak bolehlah ragbi, dah lemah, dah tua, tapi jangan fikir orang tua ni tak boleh buat kerja," katanya.

Justeru, Dr Mahathir menggesa rakyat sentiasa menggunakan otot dan otak supaya kekal sihat dan cerdas.

Katanya pada ketika ini, rakyat lebih banyak menghabiskan masa bekerja di dalam pejabat berhawa dingin tanpa banyak menggerakkan otot.

Berpandangan jauh, Dr Mahathir turut membayangkan kapal terbang pada masa akan datang mempunyai ruang untuk bersukan termasuk gelanggang futsal bagi membolehkan penumpang menggerakkan otot mereka ketika penerbangan jarak jauh.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Dr Mahathir mengucapkan tahniah kepada kontinjen Malaysia di Sukan Para Asia, Indonesia yang berjaya mencapai sasaran 15 pingat emas.

"Skuad Para Asia kita berjaya capai sasaran, mereka betul-betul bersemangat bermain walaupun dengan berkerusi roda," katanya.

Perdana Menteri turut meminta pasukan bola sepak negara untuk berusaha mencapai kejayaan seperti pasukan bola sepak Korea Selatan dan Jepun yang pada suatu ketika dahulu pernah ditewaskan Malaysia.

"Pasukan bola sepak kita kena praktis betul-betul macam kita tengok pemain profesional, macam mana nak pass (hantar) bola, semua ini kena belajar," katanya.

-- BERNAMA