England perlu berdoa agar Itali menewaskan Costa Rica dalam satu lagi perlawanan Kumpulan D demi menghidupkan peluang mereka yang semakin sempit ekoran kekalahan kepada Uruguay semalam.

Itali juga mempunyai misi yang sama untuk menang sekaligus melayakkan mereka menjadi antara 16 pasukan terakhir di pusingan kalah mati selepas ini.

Skuad Azzuri ini sudah pun mencapai kemenangan apabila menwaskan England pada perlawanan pembukaan dan sudah tentu anak buah Cesare Prandelli ini tidak mahu menempuh jalan berliku dengan tewas perlawanan menentang Costa Rica.

Ini kerana lawan pada perlawanan terakhir mereka peringkat berkumpulan tidak lain dan tidak bukan adalah, Uruguay.

Itali dijangka sekali akan menurunkan barisan kesebelasan yang menewaskan England dan Mario Balotelli sekali lagi akan memikul tugasan sebagai penggempur barisan hadapan.

Costa Rica yang tidak langsung diletakkan harapan oleh peminat bola sepak mengejutkan dunia dengan kejayaan menewaskan Uruguay dan kesempatan bertemu Itali tidak akan disia-siakan dengan mengalami kekalahan.

Skuad kendalian Jorge Luis Pinto ini juga sudah tentu mahu mara ke pusingan kalah mati dan kemenangan sahaja yang mampu menjamin kemaraan Costa Rica kerana jika mereka tewas kepada Itali, England akan sedaya upaya mencuri peluang untuk menewaskan mereka pada perlawanan terakhir kumpulan pada 25 Jun ini.

Sementara itu, dua perlawanan Kumpulan E juga akan berlangsung membabitkan dua wakil Eropah, Switzerland dan Perancis dan dua wakil Amerika Selatan dan Tengah, Ecuador dan Honduras.

Switzerland yang terpaksa berhempas pulas sebelum menang tipis ke atas Ecuador pada perlawanan pertama dijangka akan menghadapi tentangan sengit daripada Perancis.

Kedua-dua pasukan ini telah mengutip tiga mata berharga pada perlawanan pembukaan mereka akan berhempas pulas untuk menempatkan diri ke peringkat seterusnya dan kekalahan bukanlah jalan terbaik.

Valon Behrami, Gokhan Inler, Xherdan Shaqiri dan Haris Seferovic dijangka akan menjadi watak utama Switzerland manakala Karim Benzema, Paul Pogba, Yohan Cabaye dan Antoine Griezmann akan sedaya upaya mengembalikan corak permainan yang mereka tampilkan ketika menewaskan Honduras tempoh hari.

Bagi Ecuador dan Honduras pula, kekalahan masing-masing pada perlawanan pertama kumpulan beberapa hari yang lalu ingin segera dilupakan dan terus fokus dalam usaha mencari tiga mata pertama bagi pasukan masing-masing.

Sekali lagi, kedua-dua pasukan akan menurunkan barisan pemain yang sama cuma Honduras dijangka akan menurunkan Andy Najar menggantikan pemain sensasi mereka, Wilson Palacios yang digantung perlawanan selepas menerima dua kad kuning ketika menentang Perancis.