Kontinjen negara di temasya Sukan Asia 2014 (AG 2014) berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan oleh Korea Selatan sebagai penganjur kejohanan empat tahun sekali itu.

Ketua kontinjen negara Datuk Danyal Balagopal berkata secara keseluruhan, beliau berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan negara tuan rumah termasuk dari segi penginapan, venue sukan, pengangkutan dan makanan untuk atlet pada AG 2014, yang akan bermula secara rasminya 19 Sept ini.

"Syabas dan terima kasih kepada kerajaan Korea Selatan yang dilihat bersungguh-sungguh menyediakan kemudahan pada tahap terbaik dan tidak keterlaluan jika saya kata bahawa Sukan Asia edisi ke-17 ini adalah penganjuran yang terbaik," katanya.

Danyal berkata semua atlet Malaysia di Incheon kini dalam keadaan sihat, baik dan bersedia untuk memulakan tugas masing-masing.

"Semua atlet negara kini berada dalam keadaan baik dan mereka tidak berhadapan dengan banyak masalah di Incheon namun saya sedia menerima apa-apa bentuk cadangan mahupun komen daripada jurulatih dan atlet, jika mereka menghadapi sabarang masalah sepanjang berada di sini," katanya.

Sebagai memperbaiki mutu perubatan dan sains sukan yang diperlukan atlet, Danyal berkata Institut Sukan Negara (ISN) telah bersetuju dengan saranan beliau agar pasukan perubatan ISN tinggal bersama kontinjen negara di perkampungan atlet.

"Ini adalah perubahan baharu yang kita lakukan di Incheon agar atlet dapat menerima rawatan pada bila-bila masa sahaja dan bukan hanya ketika berada di venue sukan," katanya.

Danyal berkata beliau mendapat ilham itu hasil pemerhatiannya ketika menghadiri Sukan Olimpik London pada 2012.

"Sebelum ini kumpulan perubatan tinggal di luar perkampungan atlet menyebabkan mereka sukar mendapat rawatan ketika perlukan khidmat sains sukan," katanya.

ISN menghantar 31 ahli perubatan termasuk empat doktor, jururawat, ahli psikologi dan ahli fisioterapi yang diketuai Dr Arshad Puji.