MOHAMED Salah memberi kelegaan buat skuad Liverpool menjelang aksi timbal balik suku akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Manchester City pada awal pagi Rabu, apabila turun menyertai sesi latihan penuh, semalam.

Salah membuka tirai jaringan di Anfield pada minggu lalu, sekaligus membantu The Reds menang 3-0 sebelum terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan kaki.

Masalah itu berlanjutan sehingga ke hujung minggu lalu apabila dia terlepas aksi bertemu Everton yang berkesudahan seri 0-0, namun pengendali, Jurgen Klopp, yakin tahap kecergasan bintang Mesir yang sudah menjaringkan 38 gol dalam semua kejohanan pada musim ini bakal pulih.

Klopp yang ditemui sebelum itu melaungkan keyakinan bahawa Salah bakal kembali dengan lebih cepat untuk membarisi skuad utama Liverpool.

"Kami tidak pasti 100 peratus tetapi dia ada bersama jurulatih kecergasan pada semalam," kata Klopp ketika sidang media menjelang aksi di Etihad.

"Sama ada ya atau tidak, kami harus menunggu untuk mengetahui keputusan sebenar."

Sebelum berlangsung sidang media itu, Klopp juga mendedahkan tentang keadaan Andrew Robertson dan Alberto Moreno selepas kedua-duanya terlepas aksi menentang Everton.

"Tiada sebarang petanda ketika ini kerana kami harus menunggu," kata Klopp kepada laman web rasmi Liverpool.

"Anda boleh bayangkan, dalam tempoh masa yang pendek, tentu segalanya sukar, jadi saya harus menunggu setiap detik yang ada. Tiada sebarang perkembangan pada ketika ini.

"Mengenai Salah, Robertson dan Moreno, kami harus menunggu dan semestinya mengharapkan mereka segera kembali."