PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola dilihat tidak mengambil mudah perlawanan menentang Bristol City dengan menurunkan barisan skuad terkuatnya dalam separuh akhir kedua Piala Carabao.

Bristol merupakan pasukan Liga Championship yang menewaskan Manchester United di peringkat suku akhir.

Dengan membuat hanya dua pertukaran ke atas skuad yang sama menewaskan Newcastle United Ahad lalu, City mara ke akhir Piala Carabao dengan agregat 5-3.

Ini menunjukkan bahawa Bristol bukan calang-calang pasukan dalam kejohanan ini, walaupun menduduki tangga kelima dalam Liga Championship buat masa ini.

Selepas menang 2-1 dalam saingan separuh akhir pertama di Stadium Etihad, the Citizens mengatasi Bristol dengan jaringan 3-2 di Ashton Gate.

Leroy Sane, Sergio Aguero dan Kevin de Bruyne menjaringkan gol untuk City menempah slot final di Wembley pada 25 Februari.

Bagaimanapun Bristol memberi tentangan sengit kepada kelab kaya Manchester itu walaupun ketinggalan 2-0 hasil jaringan Sane pada minit ke-43 dan Aguero pada minit ke-49 dalam babak kedua.

Bristol berjaya menyamakan kedudukan dengan gol daripada Marlon Pack pada minit ke-64 dan Aden Flint dalam masa kecederaan sebelum De Bruyne memastikan CIty memenangi perlawanan ini dengan 3-2.

City yang diramal mampu menang kesemua empat piala kejohanan yang disertainya musim ini akan menentang Arsenal atau Chelsea yang akan bertemu dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Pertembungan separuh akhir pertama di Stamford Bridge pada 10 Januari lalu menyaksikan kedudukan terikat tanpa jaringan.