MANCHESTER United memiliki hutang sebanyak 200 juta Euro (RM947 juta), lebih besar berbanding kelab Eropah yang lain, menurut angka baharu yang dikeluarkan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

Laporan Penanda Aras Pelesenan Kelab oleh badan induk itu yang meliputi laporan kewangan 2015 mendedahkan United kini menanggung hutang sebanyak 536 juta Euro (RM2.5 bilion) -- iaitu jurang besar dengan pesaing terdekat, Benfica, yang memiliki hutang 336 juta Euro.

Angka United itu turut bertambah 25 peratus daripada 12 bulan lalu susulan perkembangan terkini kelab-kelab Eropah yang berusaha menurunkan jumlah hutang mereka dalam tempoh lima tahun ini bagi mengikuti peraturan kewangan yang ditetapkan UEFA.

Dalam konteks United, laporan UEFA itu, bagaimanapun, diseimbangkan oleh penjanaan pendapatan 2015 sebanyak 521 juta Euro - pendapatan ketiga tertinggi selepas Real Madrid dan Bercelona -- selain 80 peratus aset jangka panjang yang dimiliki bermakna United tidak berada dalam risiko besar.

Dalam senarai itu, kelab terburuk pula adalah Queens Park Rangers yang kini beraksi dalam Liga Kejuaraan apabila berhutang sebanyak 279 juta Euro, iaitu 480 peratus melebihi aset jangka panjang dan Fenerbahce, 166 juta Euro dengan 610 peratus.

Kejatuhan nilai mata wang Pound Sterling turut mempengaruhi United sekalipun kelab itu melepasi rekod pendapatan mereka, iaitu 513 juta Pound Sterling (RM2.7 bilion) tahun ini.