KUALA LUMPUR: Dunia Mad Noor (nama samaran) menjadi gelap selepas diisytiharkan muflis dua tahun lalu setelah gagal melunaskan hutang bank dan perniagaan kain pasangnya di Rawang, Selangor gulung tikar.
Perniagaan yang dibina bersama-sama isteri sejak 2018 itu mengalami kerugian lebih RM100,000, dengan bayaran balik pinjaman bank tertunggak berbulan-bulan akibat persaingan perniagaan dalam talian yang diburukkan lagi oleh penularan COVID-19.
"Keuntungan kedai sedikit merosot pada 2019 apabila ramai pelanggan berubah selera membeli secara dalam talian, dan keadaan itu berterusan hingga pertengahan 2020 akibat COVID-19.
"Apabila tidak mampu lagi menguruskan kedai dan pinjaman bank tertunggak berbulan-bulan lamanya, kedai terpaksa ditutup pada hujung 2021 dan kami diisytiharkan bankrap," katanya kepada Bernama.
Status bankrap itu menyebabkan lelaki berusia 65 tahun tersebut kehilangan banyak keistimewaan, antaranya akaun bank dibekukan dan ditutup, tidak boleh menjalankan sebarang perniagaan selain tidak dibenarkan ke luar negara.
Semua itu menyukarkannya untuk bangkit kembali, namun pindaan terhadap Akta Insolvensi 1967 (Akta 360) yang dikuatkuasakan pada 6 Okt lepas, memberikan sinar baharu kepada Mad dan 35,714 kes kebankrapan setakat Ogos lepas, yang ditadbir oleh Jabatan Insolvensi Malaysia.
Penguatkuasaan akta pindaan Akta Insolvensi (Pindaan) 2023 (Akta1695) tersebut memberi kelegaan kepada Mad untuk kembali memainkan peranan sebagai ketua keluarga. Dia yang kini disara oleh anak-anak serta isteri yang menjalankan perniagaan menjahit secara kecil-kecilan di rumah, berhasrat membangunkan semula perniagaannya.
"Saya mahu bina kehidupan baharu," katanya yang berharap dapat bebas daripada status muflis dalam tempoh lebih singkat.
Diumumkan sebagai Dasar Peluang Kedua oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said pada awal bulan ini, inisiatif itu yang menyasarkan pelepasan hingga 130,000 individu bankrap, bertujuan memberi kehidupan lebih baik kepada kelompok tersebut dan kembali menyumbang kepada ekonomi negara.
Pindaan Akta 360 itu melibatkan penambahbaikan peruntukan pelepasan bankrap di bawah Seksyen 33C, iaitu membolehkan pelepasan bankrap secara automatik dalam tempoh tiga hingga lima tahun dari tarikh individu muflis menyerahkan pernyataan hal ehwalnya.
Keprihatinan kerajaan terhadap kelompok itu dikuatkan lagi dengan jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2024, apabila mengumumkan Dasar Peluang Kedua diperluas kepada golongan muda berusia 40 tahun dan ke bawah yang mempunyai hutang tidak melebihi RM200,000, bermula tahun depan.
Setakat Julai lalu, hampir 14,000 kes muflis dengan hutang bawah RM50,000 telah dilepaskan daripada kebankrapan.
Selain itu, pindaan terhadap Subsekyen 33B (2A) Akta 360 menyaksikan tambahan dua kategori baharu individu yang boleh dilepaskan melalui sijil Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) tanpa melalui prosedur bantahan pemiutang.
Dua kategori tersebut ialah individu bankrap yang tidak boleh mengurus diri dan hal ehwalnya akibat penyakit mental mengikut takrifan di bawah Akta Kesihatan Mental 2001, serta individu bankrap berusia 70 tahun ke atas yang layak, pada pendapat dan pertimbangan KPI, tidak berupaya untuk menyumbang kepada pentadbiran kebankrapan.
Jabatan Insolvensi dalam laporannya, berkata berdasarkan jumlah kes muflis yang ditadbirnya, punca utama keberhutangan di negara ini ialah pinjaman peribadi.
Dalam tempoh 2019 hingga Ogos tahun ini, kes pinjaman peribadi mewakili 49.14 peratus atau 17,550 kes daripada 35,714 kes kebankrapan berbanding jenis pinjaman kewangan lain, merangkumi pinjaman bercagar atau tidak bercagar, daripada institusi perbankan.
Pinjaman perniagaan merekodkan kes kebankrapan kedua tertinggi dengan 17.30 peratus atau 6,179 kes, diikuti sewa beli kenderaan (3,898), pinjaman perumahan (2,978) serta hutang kad kredit sebanyak 2,198 kes atau 6.15 peratus.
PALING RAMAI BANKRAP
Usaha mengurangkan kes kebankrapan dalam kalangan rakyat telah dijalankan sejak 2017 apabila kerajaan sebelum ini meminda Akta 360 dengan menaikkan nilai ambang keberhutangan daripada RM30,000 kepada RM50,000, dan seterusnya kepada RM100,000 pada 2020.
Susulan inisiatif itu, pendaftaran kes kebankrapan menunjukkan penurunan dari tahun ke tahun.
"Rekod menunjukkan jumlah individu yang diisytiharkan bankrap pada 2022 adalah seramai 5,695 orang berbanding tahun sebelumnya 6,554 orang, dan setakat Ogos tahun ini, jumlah individu bankrap adalah 3,063 orang.
"Dari segi umur pula, statistik menunjukkan golongan dalam lingkungan umur 35 hingga 44 tahun bagi tempoh 2019 hingga Ogos 2023 paling ramai bankrap, iaitu 13,757 orang berbanding individu berumur bawah 25 tahun hanya seramai 115 orang, manakala yang berumur 55 tahun dan ke atas adalah seramai 5,549 orang," menurut jabatan tersebut.
Biarpun pindaan itu dilihat dapat membantu golongan ini membina kembali kehidupan mereka, bagi pemilik syarikat logistik di Butterworth, Pulau Pinang yang hanya mahu dikenali sebagai Muszafar, 52, masih ada kelompongan yang perlu ditambah baik, khususnya sebelum seseorang itu diisytiharkan bankrap.
Merujuk kesnya, lelaki itu berkata mahkamah masih mahu mengisytiharkan bankrap ke atas dirinya sekalipun nilai asetnya yang disita sudah cukup bagi melunaskan hutangnya.
"Saya dalam proses bakal diisytiharkan bankrap oleh mahkamah disebabkan tidak mampu membayar hutang lebih RM150,000, tetapi apa yang saya bangkitkan di sini ialah prosedur akta perlu dikaji, iaitu sebelum mengisytiharkan seseorang itu bankrap supaya tidak menganiayai penghutang," katanya.
Selain itu, dia juga berpendapat tempoh pelepasan bankrap secara automatik, iaitu tiga hingga lima tahun dari tarikh si muflis menyerahkan pernyataan hal ehwalnya, wajar dipendekkan lagi, khususnya buat peniaga agar mereka dapat bingkas dengan lebih pantas.
Tidak dinafikan, pandemik COVID-19 telah menyaksikan ramai peniaga terpaksa gulung tikar dan berhutang ratusan ribu ringgit kerana tidak mampu meneruskan perniagaan, menyebabkan ramai juga yang diisytiharkan muflis.
Mengulas tentang hal itu, pensyarah kanan di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia Dr Nur Hafizah Mohammad Ismail berkata individu yang bebas daripada status bankrap lebih berkeupayaan menangani pengurusan kewangan mereka pada masa depan.
Pengalaman yang dilalui membuatkan mereka lebih berhati-hati dalam menguruskan kewangan supaya tidak kembali berdepan dengan situasi sama.
"Individu bankrap mempunyai perspektif berbeza dalam menguruskan hutang dan kewangan mereka berdasarkan pengalaman sebelum ini, sekali gus membolehkan mereka memulakan perniagaan baharu atau menyumbang kepada tenaga kerja dalam merangsang aktiviti dan pertumbuhan ekonomi setempat.
"Mereka juga akan mengambil peluang memulakan rancangan pelaburan konservatif dan berisiko rendah bagi memastikan keseimbangan antara risiko dan pulangan yang akan diterima,'' katanya.
Pindaan akta itu, bagi Nur Hafizah, tidak hanya memberi peluang kedua kepada golongan muflis, tetapi turut dapat menangani stigma masyarakat terhadap individu bankrap yang boleh mempengaruhi kesejahteraan mental dan emosi mereka.
-- BERNAMA / Nurqalby Mohd Reda
Bernama
Sun Oct 22 2023
Pindaan terhadap Akta Insolvensi 1967 yang dikuatkuasakan pada 6 Okt 2023 memberikan sinar baharu kepada lebih 35,000 kes kebankrapan yang ditadbir Jabatan Insolvensi Malaysia. - Gambar hiasan
SPRM peroleh perintah larang akses aset 1MDB AS$340 juta di UK
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan perintah larangan bagi melarang pihak-pihak tertentu untuk berurusan dengan aset yang dikaitkan dengan skandal 1MDB sejumlah AS$340 juta.
MTDC Sokong Peluncuran Dana MySTI, Perkasa Teknologi Tempatan
Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) melancarkan Dana Uji Beli (DUB) dan Dana Mudah Cara (DMM) MySTI, sebuah iniasitif baharu bagi mempercepatkan usaha pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara.
Batu Puteh: Dr Mahathir balas kenyataan tiga bekas menteri Kabinet
Dr Mahathir turut membangkitkan persoalan sama ada perlu beliau meminta anggota Kabinet ketika itu untuk menyatakan pendapat mereka.
Pantau Agenda Reformasi: Tangani kenaikan harga premium insurans, takaful kesihatan
Ikuti kupasan Provost, Malaysia University of Science & Technology (MUST), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai mengenai enam syor Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan tangani kenaikan harga premium insurans & takaful.
Pelabur harus memiliki mata wang Bitcoin - Thomas Peterffy
Pengasas syarikat broker runcit Interactive Brokers Group, Thomas Peterffy menyarankan pelabur untuk memiliki sedikit mata wang kripto, Bitcoin.
Pengeluaran getah asli Malaysia catat peningkatan 20.6 peratus
Pengeluaran getah asli Malaysia catat peningkatan 20.6 peratus pada Oktober 2024 dengan 38,400 tan berbanding 31,847 tan pada September 2024.
Korean Air selesai pembelian jangka panjang Asiana Airlines
Syarikat penerbangan Korean Air menyelesaikan pembelian jangka panjang terhadap pesaingnya, Asiana Airlines yang kini dalam krisis hutang.
Jumlah import eksport barangan China naik 4.9 peratus 11 bulan pertama
Jumlah import dan eksport barangan China mencapai RMB39.79 trilion (RM24.3 trilion) dalam 11 bulan pertama tahun ini, naik 4.9 peratus tahun ke tahun.
4.1 juta pencarum miliki amaun permulaan, RM 14.5 bilion dipindah
Seramai 4.1 juta atau 31.6 peratus daripada jumlah keseluruhan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah umur 55 tahun memilih mempunyai amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel dengan jumlah perpindahan sebanyak RM14.5 bilion
Nilai ringgit dijangka terus kukuh menjelang akhir 2025
Nilai ringgit dijangka terus kukuh menjelang akhir 2025
TGIF Malaysia tidak terjejas dengan penyusunan semula TGIF Inc
Pemegang francais induk dan pemaju TGIF Malaysia mengesahkan operasinya kekal stabil serta bakal membuka cawangan baharu tidak lama lagi.
Sebutan kes Norjuma hina mahkamah Januari tahun depan
Mahkamah menetapkan sebutan kes menghina mahkamah membabitkan usahawan selebriti, Norjuma Habib Mohamed, pada 28 Januari tahun depan.
Risiko bankrap: Usah mudah percaya sesiapa walau orang terdekat
Walaupun kini bebas, segala derita yang diharungi akibat tindakan individu yang amat dipercayai, masih tersemat dalam ingatannya hingga hari ini.
10 hingga 13 peratus penjawat awam bankrap antara 2021 hingga tahun ini
Kira-kira 10 hingga 13 peratus daripada kes kebankrapan baharu yang didaftarkan antara 2021 hingga tahun ini melibatkan penjawat awam.
SPRM fokus bankrapkan penjenayah rasuah, kembalikan aset kepada kerajaan - Azam Baki
Katanya, operasi SPRM kini lebih fokus kepada bukan sahaja menangkap dan mendakwa perasuah di mahkamah, tetapi juga membankrapkan mereka.
Belanjawan Madani 2025: Kerajaan terus tambah baik Dasar Peluang Kedua, bantu golongan muflis
Belanjawan Madani 2025: Kerajaan terus tambah baik Dasar Peluang Kedua, bantu golongan muflis
Dasar Peluang Kedua: Penjawat awam bankrap diseru perbaiki kesihatan kewangan
Peluang keemasan buat penjawat awam yang mempunyai masalah keberhutangan yang tinggi untuk menyusun semula kewangan dan meningkatkan mutu hidup.
Akta Insolvensi (Pindaan) bantu keluar daripada kegelapan muflis
'Dasar peluang kedua' menyasarkan pelepasan hingga 130,000 individu bankrap, bertujuan memberi kehidupan lebih baik kepada kelompok berkenaan.
Peluang kedua individu bankrap, Akta Insolvensi (Pindaan) 2023 berkuat kuasa esok
Penguatkuasaan Akta Insolvensi (Pindaan) 2023 [A1695] akan dilaksanakan mulai esok, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Lebih 30,000 belia bawah 35 tahun bankrap - Ramkarpal
Seramai 31,140 belia berusia 35 tahun ke bawah telah didaftarkan sebagai bankrap sejak 2014 hingga Mei 2023 berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI).