CRISTIANO Ronaldo akan kekal di Juventus meskipun gagal membawa kemenangan Liga Juara-Juara (UCL), ujar pengurusnya, Massimiliano Allegri.

Ronaldo menjaringkan golnya yang ke-26 musim ini ketika menentang Ajax, Khamis lalu, tetapi ia masih belum memadai untuk mereka mengelak kekalahan 1-2 yang menyaksikan Juve terkandas di peringkat suku akhir.

Timbul laporan yang mengatakan Juve bersedia untuk berbelanja besar dalam jendela perpindahan akan datang bagi membaik pulih skuad itu dan menjadikan mereka pesaing utama UCL berikutan Ronaldo, pemenang lima kali pertandingan itu, berang dengan kekalahan mereka.

Laporan turut mencadangkan bahawa pemain berusia 34 tahun itu hanya akan menyarung jersi Juve setakat akhir musim depan biarpun telah menandatangani kontrak selama empat tahun ketika dia tiba daripada Real Madrid, Julai lalu.

Bagaimanapun, Allegri menjelaskan Ronaldo dalam keadaan tenang meskipun dilanda kekecewaan berikutan kekalahan kepada Ajax sambil menegaskan dia akan menjadi watak penting sebagai pemangkin mereka.

"Ronaldo mengharungi musim yang luar biasa," katanya dalam sidang akhbar semalam.

"Kempen UCL sudah berakhir -- hasilnya menyaksikan kami tersingkir. Gabungan Ronaldo dan Juventus tidak menjamin kejuaraan UCL.

"Dia adalah masa depan buat Juventus. Dia telah beraksi dengan baik tahun ini dan akan melakukan perkara yang hebat pada tahun depan. Dia kecewa tetapi tenang tentang hal itu, seperti juga dengan yang lain."

Juve akan menghadapi Fiorentina, tengah malam ini. Dengan mengelak kekalahan, mereka akan menjamin gelaran Serie A kelapan berturut-turut.

Lantas, Allegri menuntut peminat bersiap sedia untuk meraikan pencapaian seperti itu dengan gembira dan melupakan kekecewaan penyingkiran dalam saingan Eropah.

"Ia akan menjadi gelaran Scudetto kelapan berturut-turut buat kami dan oleh itu, ia sesuatu yang boleh dibanggakan. Ia sepatutnya menjadi pesta!" katanya.

"Kami tidak dapat mengubah hakikat tentang UCL, jadi kami akan menikmati kejayaan yang ada. Apabila sampai ke stadium di sebalik suasana negatif UCL menyelubungi kami, namun dengan tidak meraikan kejayaan menjulang Scudetto adalah silap.

"Ia masih menjadikan musim ini hebat dengan 50 peratus daripada sasaran yang ditetapkan telah dicapai."