JAGUH 110m kebangsaan, Rayzam Shah Wan Sofian, ditimpa kecederaan serius patah tangan kanan selepas tersandung dalam acara akhir Kejohanan Olahraga Grand Prix (GP) Terbuka Malaysia, malam tadi.

Rayzam Shah, yang sedang mendahului selesa di depan tiga pelari menuju garisan penamat di Stadium Nasional, Bukit Jalil, terkandas di pagar terakhir sebelum terjatuh di atas balapan hingga mendatangkan kecederaan serius.

Rayzam Shah kemudian bangun untuk menamatkan perlumbaan tetapi jelas menahan kesakitan sambil memegang tangan kanannya.

Acara itu dimenangi Benedict Ian Gawok dari Sabah dengan catatan 14.46s.

"Jelas kelihatan tangan beliau mungkin terkehel di pergelangan tangannya.

"Kami akan mengenal pasti adakah dia mengalami keretakan tulang selepas ke hospital.

"Memang malang buat Rayzam Shah kerana terjatuh di pagar terakhir.

"Kami berharap dia dapat segera pulih kerana dia diletakkan sasaran untuk melayakkan diri ke Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) di Doha, Qatar.

"Nampaknya, kami perlu mengenal pasti sejauh mana tahap kecederaannya dan berapa lamakah dia akan pulih terlebih dahulu sebelum membuat keputusan lanjut," kata ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abas.