Petronas akan terus memupuk bakat baharu dalam sukan permotoran melalui program akar umbi, Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas serta Kejuaraan Moto3 dengan kerjasama Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang akan diwakili pasukan Petronas Sprinta Racing.

Petronas dalam satu kenyataan berkata, pihaknya komited dalam usaha membangunkan pelumba pelapis yang mampu mewakili Malaysia di arena sukan permotoran antarabangsa, sekali gus mengukuhkan jenamanya di persada global.

Petronas turut mengesahkan bahawa Hafizh Syahrin, pelumba yang dibimbing di bawah Program Pembangunan Bakat Petronas, akan menyertai Kejuaraan Moto2 Dunia 2018 secara eksklusif bersama pasukan SIC Racing Team.

BACA: Henti taja Hafizh, Petronas tumpu pembangunan pelumba pelapis

Hafizh berserta pengurusan Raceline Malaysia dan Petronas menempuh sembilan musim dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia, Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), Kejuaraan Motosikal Sepanyol (CEV) dan Kejuaraan Moto2 Dunia.

Kejayaan Hafizh itu mencapai objektif asal program tersebut untuk melahirkan pelumba Malaysia yang berdaya saing, mempunyai kebolehpasaran dan kemandirian yang tinggi.

Petronas berbangga dengan pencapaian Hafizh dan berharap beliau terus maju jaya dalam sukan permotoran, kata kenyataan itu.

-- BERNAMA