Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) bakal menjadikan Kejohanan Piala Agong 2016 sebagai platform mencari pemain sesuai untuk pasukan kebangsaan menghadapi dua misi penting tahun depan.

Dua kejohanan mendapat perhatian khusus KRM tahun depan, iaitu Sukan SEA Kuala Lumpur dan juga saingan Divisyen Satu Kejohanan Ragbi Asia (ARC).

Menurut Pengarah Pertandingan Piala Agong 2016, Mazuri Sallehuddin, kemampuan setiap pemain akan dinilai dalam kejohanan ini supaya mereka berpeluang untuk disenaraikan dalam pasukan kebangsaan.

"Pada tahun depan, kami terpaksa memecahkan pasukan kepada dua, iaitu tujuh sebelah dan 15 sebelah. Kami terpaksa buat pengkhususan untuk pemain-pemain ini fokus terhadap bidang sukan masing-masing," katanya.

Sebanyak 14 pasukan mengambil bahagian, dengan Sabah memburu peluang mencipta kejuaraan hatrik, apatah lagi saingan separuh akhir dan akhir akan berlangsung di Sandakan.

Hanya dua pasukan tidak dapat menyertai kejohanan, yang berlangsung dari 3 September hingga 2 Oktober depan itu, iaitu Melaka dan Sarawak, atas alasan tersendiri.

"Sarawak tidak dapat menyertai atas faktor logistik dan kekangan kewangan, dan Melaka (kerana) Pesuruhjaya Sukan masih lagi mengesahkan kelayakan mereka," tambahnya.