AZAM Liverpool untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris buat musim kedua berturut-turut kini berubah menjadi perjuangan untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah semata-mata.

Begitulah amaran Jurgen Klopp terhadap pasukannya.

Liverpool sudah seakan-akan kehilangan bisa mereka sejak waktu Krismas dan kini sekadar menduduki tangga keempat liga selepas seri 0-0 dengan Manchester United awal pagi tadi.

Ketiga-tiga penyerang Liverpool, Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino seakan-akan sudah goyah keyakinan diri dan ini semestinya menyukarkan lagi harapan untuk mempertahankan kejuaraan mereka.

Bagi Klopp pula, cabaran untuk mempertahankan kejuaraan bukanlah agenda utama di mindanya ketika ini.

“Tempoh waktu ini memang sukar buat kami, tetapi saya sudah terlalu lama berkecimpung dalam bidang ini dan saya tahu ini bukanlah waktu yang paling sukar antara semua.

“Sekarang, pasukan kami bersaing sengit dengan banyak lagi pasukan lain dan sememangnya inilah sebahagian kerja kami.

“Musim ini, ia bukan lagi tentang mempertahankan kejuaraan semata-mata.

“Setidak-tidaknya, kami harus layak ke Liga Juara-Juara Eropah, tidak kira apa sekalipun, matlamat ini harus dicapai,” begitulah kata-kata jurulatih warganegara Jerman tersebut.

Dalam perlawanan menentang United, Liverpool nyaris tertewas, namun diselamatkan oleh penjaga gol mereka, Alisson Becker, yang beraksi cemerlang untuk mempertahankan percubaan berbahaya Paul Pogba dan Bruno Fernandes dalam separuh masa kedua.

Jika United menang perlawanan awal pagi tadi, ia akan menjadi kemenangan pertama mereka di Anfield sejak Januari 2016, namun ternyata perkara itu tidak menjadi kenyataan.

Reaksi ketua jurulatih kedua-dua pasukan juga berbeza sama sekali.

Bagi Klopp, dia ternyata kurang senang dengan strategi ‘bertahan dan serang balas’ yang digunakan United.

“Dalam bola sepak, perkara yang paling sukar sekali adalah menghadapi satu pasukan yang dipenuhi dengan pemain berkelas dunia, tetapi sekadar bertahan dan menyerang balas, memang sangat sukar,” ujar Klopp.

Bagi Ole Gunnar Solksjaer pula, dia nampaknya kesal dengan peluang baik untuk menjaringkan gol yang gagal disempurnakan pemainnya.

“Saya rasa kami tidak cukup bagus, kami tidak cukup dominan.

“Kami berjaya mencipta dua peluang keemasan untuk menjaringkan gol, tetapi penjaga gol mereka berjaya menyelamatkan keadaan dengan hebat sekali.

“Kami sepatutnya memberikan persembahan yang jauh lebih baik.

“Liverpool dilanda krisis kecederaan tetapi peluang ini gagal kami manfaatkan sebaik-baiknya.

“Malam ini kami sekadar mendapat satu mata, pemain saya agak kecewa, tetapi kami tahu kami akan bangkit dengan lebih kuat lagi,” ujar Solksjaer.

Kekecewaan Solksjaer nampaknya disokong oleh bekas kapten pasukan, Roy Keane.

Dalam komentarnya menerusi saluran Sky Sports, Keane dipetik sebagai berkata: “Peluang yang dimiliki oleh Pogba untuk menjaringkan gol sepatutnya disempurnakan, tidak ada sebarang pilihan lain.

“Seluruh pasukan bergabung bagi menyediakan peluang untuk Pogba, dia berpeluang untuk menjadi wira, tetapi sayang sekali, ia tidak kesampaian.”

Seperti yang disebut-sebut oleh semua pihak, persembahan terkini United cukup memberangsangkan dan mengujakan buat peminat, namun jika mereka ingin melangkah ke tahap yang lebih tinggi, penguasaan bola mereka di bahagian tengah padang haruslah diperkemaskan lagi dan seharusnya peluang untuk menjaringkan gol disempurnakan.

Bagi Liverpool pula, hakikatnya ketika ini, masalah paling besar untuk mereka merupakan kecederaan pemain penting.

Jika bukan kerana masalah kecederaan ini, sukar untuk dibayangkan yang Liverpool gagal menjaringkan gol dalam satu perlawanan sekalipun, apatah lagi tiga perlawanan berturut-turut!

Liga Perdana Inggeris musim ini masih berbaki 20 perlawanan – perjalanan yang masih terlalu Panjang buat semua pasukan, dengan segalanya masih berkemungkinan