Jaguh bina badan negara, Sazali Samad kekal fokus hadapi saingan Kejohanan Bina Badan Asia yang akan berlangsung September depan walaupun sibuk menyambut kehadiran bulan Syawal bersama keluarga.

Juara 10 kali Mr.Universe ini, tetap meneruskan latihan seperti biasa di bulan Ramadan.

Malah, atlet kelahiran Batu Pahat ini juga baru saja beraksi di Kejohanan Sukan Dunia Polis dan Bomba 2015 di Virginia, Amerika Syarikat.

"Alhamdulilah saya baru habis kejohanan di Amerika Syarikat dan berjaya merangkul pingat emas walaupun di bulan puasa dan waktu itu pun saya telah berlatih di bulan puasa," katanya.

Dalam pada itu, Sazali ketika ini berada di Batu Pahat bersama keluarga namun dia tidak boleh berada lama di kampung kerana perlu segera bersiap untuk kejohanan Asia.