Sikap ambil mudah terhadap pasukan tercorot iaitu Kelantan di laman sendiri "memakan diri" buat pasukan Kedah apabila tewas 1-2 pada saingan Liga Super yang berlangsung di Stadium Darul Aman, di sini malam tadi.

Walaupun, Kedah terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-25 menerusi sepakan penalti Paulo Rangel, namun Kedah yang berasa selesa dengan kedudukan itu terus dihukum anak buah Yusri Che Lah di babak kedua permainan.

Ketua Jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff berkata, keputusan malam tadi juga tidak jangka ketika Kedah mendambakan tiga mata penuh untuk memintas Perak selepas tewas bertemu Melaka United 0-2 pada Jumaat lepas.

"Permainan malam ini tidak disangka, apa pun ianya berlaku atas kesilapan kita sendiri dengan kelekaan pemain di dalam padang, sikap ambil mudah ditambah lagi peluang-peluang yang terhidang tidak dapat disempurnakan dengan baik sehinggalah kita dihukum " katanya selepas tamat perlawanan itu.

Mohd Nidzam Adzha berkata, kecederaan yang dialami penjaga gol utama, Mohd Ifwat Akmal Che Kassim di babak kedua permainan dan memasukkan Muhd Asri Muhamad yang kurang berpengalaman membolehkan Kelantan menyumbat dua gol mudah pada minit ke-55 dan ke-58.

Berikutan itu, Kedah dijangka akan melakukan percaturan pemain dan memberi peluang kepada penjaga gol ketiga yang baharu, Mohd Ramadhan Abd Hamid untuk beraksi selepas ini.

Penolong Ketua Jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah berkata, beliau berpuas hati dengan mutu permainan yang ditunjukkan anak buahnya itu sekali gus meraih tiga mata berharga buat pasukannya itu.

"Saya bangga dengan barisan pemain muda yang menunjukkan aksi cemerlang apabila berjaya menyempurnakan peluang- peluang yang ada terutama sekali dengan kemasukkan Nik Azli Nik Alias dan Muhammad Danial Ashraf yang menyumbang dua gol pasukan sehingga mengubah corak permainan kami," katanya.

Pujian juga diberikan kepada penjaga gol, Mohd Shahrizan Ismail yang berjaya menidakkan sepakan penalti kedua Kedah yang diambil oleh Sandro Da Silva di hujung permainan dalam usaha Kedah untuk mengikat jaringan.

Selepas perlawanan malam tadi, Kedah berada ditangga keempat liga dengan mengumpul 21 mata di bawah Perak, manakala Kelantan di kedudukan terakhir liga dengan 11 mata.

-- BERNAMA