Danijel Subasic menyelamatkan tiga sepakan penalti untuk membawa Croatia ke suku akhir Rusia 2018, dalam perlawanan penuh drama di penghujung permainan.

Pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas keputusan terikat 1-1 selepas tamat masa tambahan, walaupun kedua-dua pasukan menjaringkan gol pada minit pertama dan keempat permainan.

Croatia berpeluang untuk menamatkan perjuangan Denmark dengan lebih awal namun sepakan penalti Luka Modric di penghujung masa tambahan berjaya diselamatkan Kasper Schmeichel.

Sebelum itu, Denmark menjaringkan gol pertama perlawanan, 58 saat selepas sepak mula menerusi Martin Jorgensen.

Namun gol penyamaan Croatia hadir sekitar dua minit kemudian apabila Mario Mandzukic pantas menyambar bola yang melantun selepas terkena kepala pemain tengah Denmark, Andreas Christensen.

Kedua-dua pasukan mempunyai beberapa peluang untuk menggandakan jaringan sepanjang 120 minit permainan namun percubaan yang lemah memudahkan tugas Schmeichel dan Subasic.

Dalam penentuan sepakan penalti, tendangan pertama Denmark yang diambil Christian Eriksen diselamatkan Subasic sebelum Schmeichel turut cemerlang menghalang sepakan Milan Badelj.

Modric yang gagal menyempurnakan sepakan dalam masa tambahan berjaya menebus kekecewaan itu dengan menyepak masuk sepakan ketiga Croatia.

Subasic kemudian sekali lagi bertindak cemerlang apabila menyelamatkan sepakan Lasse Schone, begitu juga Schmeichel yang tangkas menghalang sepakan Josip Pivaric.

Sepakan terakhir Denmark yang diambil Nicolai Jorgensen diselamatkan Subasic sebelum Ivan Rakitic menewaskan Schmeichel untuk mengesahkan kemenangan milik Croatia dengan keputusan 3-2.

Croatia akan bertemu tuan rumah, Rusia di suku akhir pada 8 Julai jam 2 pagi waktu Malaysia.

Tonton: Croatia 1-1 Denmark (Croatia menang 3-2 menerusi penalti)