Kesukaran mengatur perlawanan persahabatan di negara Arab merupakan sebab utama ketua jurulatih skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee menjadikan Korea Selatan sebagai destinasi ideal bagi mempersiapkan pasukan sebelum menghadapi Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2018 di China, Januari depan.

Katanya, sebahagian besar negara Asia Barat hanya akan bersetuju untuk mengadakan perlawanan persahabatan sekiranya ia diadakan di sana selain mengambil kira jarak perjalanan yang lebih jauh untuk ke China berbanding Korea Selatan.

"Selain itu, pasukan Asia Barat berada dalam kumpulan kita, mereka akan ke Jepun ataupun Korea Selatan untuk membiasakan diri dengan cuaca sejuk di sana," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada hari pertama sesi latihan pusat di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Kim Swee berkata skuad negara yang diundi berada di dalam kumpulan C bersama tiga negara Arab iaitu Iraq, Mesir dan Arab Saudi berpeluang menguji kekuatan bersama salah satu daripada pasukan negara itu sebelum memulakan kejohanan ketika di China.

"Kemungkinan besar satu perlawanan persababatan menentang salah satu pasukan yang layak ke Piala AFC U23 2018 tetapi berada dalam kumpulan lain akan diadakan ketika di China sebelum kita menentang Iraq pada aksi pembukaan," katanya.

Dalam pada itu, Kim Swee mengesahkan seramai 26 daripada 30 pemain yang dipanggil mengikuti kem latihan pusat selama tiga minggu bermula hari ini sudah melaporkan diri, sementara empat pemain lagi dijangka turut menyertai dalam masa terdekat.

Empat pemain itu ialah Matthew Davies, Syafiq Ahmad, Tommy Mawat Bada dan Amierul Hakimi Awang.

"Matt Davies ketika ini di Madrid, Sepanyol dan akan kembali ke Australia dahulu untuk menjalani sesi pemulihan dan Syafiq sedang sibuk menguruskan hal perkahwinan beliau. Tommy dan Amierul pula ada masalah dengan penerbangan ke Kuala Lumpur," tambah beliau.

-- BERNAMA