Hanya tinggal lebih kurang empat bulan sebelum berlangsungnya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Dengan persiapan venue pertandingan yang sudah hampir 100 peratus, penganjur kejohanan hanya perlu menguruskan sedikit hal penajaan untuk diselesaikan.

Jelas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, semua persiapan bagi menghadapi sukan terbesar di Asia Tenggara itu berada di landasan yang betul kecuali sedikit isu membabitkan penajaan.

“Semuanya berada di landasan yang sepatutnya. Cuma kita ada sedikit kekurangan dalam penajaan membabitkan wang. Jadi dalam waktu terdekat ini, saya akan melihat satu atau dua lagi penaja besar dan saya harap akan mampu melakukannya.

"Yang lain semuanya hampir siap sepenuhnya. Cuma velodrom akan diserahkan pada hujung bulan ini tetapi trek itu sudah siap," kata Khairy.

Menurutnya, pelumba basikal negara Azizulhasni Awang akan tiba di tanah air pada malam ini dan akan menjadi orang pertama yang akan mencubanya.

Secara keseluruhannya, Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang akan berlangsung Ogos ini sudah mencapai tahap persiapan 90 peratus.

Khairy ditemui media selepas hadir merasmikan Kejohanan Balapan dan Padang kali ke-24 Sekolah Kebangsaan Tun Dr Ismail 2 di Subang.

Khairy membuat kejutan dengan memakai kostum maskot Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. - Astro AWANI

Dalam acara tersebut, Khairy membuat kejutan apabila hadir dengan memakai maskot rasmi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 tanpa diketahui oleh hadirin.

Sekolah Kebangsaan Tun Dr. Ismail 2 merupakan antara 33 sekolah di seluruh negara yang dipilih untuk mempromosikan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di bawah program KL2017@Sekolah.

Kuala Lumpur 2017 yang akan berlangsung dari 19 sehingga 31 Ogos ini adalah edisi yang ke-29 dan Malaysia menjadi tuan rumah buat kali keenam dalam sejarah penganjurannya.

Selain atlet terbaik negara, kejohanan kali ini juga menyaksikan penyertaan 13,000 sukarelawan yang akan menjalankan tugas bagi memastikan kelancaran sukan dwi tahunan itu nanti.