WIRA England dalam Piala Dunia Russia mendapat ruang letak kereta khas di pasar raya di sekitar negara itu sebagai sebahagian daripada inisiatif komuniti oleh syarikat Lidl.

Rangkaian pasar raya milik Jerman itu telah menyediakan petak khas buat pemain The Three Lions demi memastikan anggota skuad itu seperti Gareth Southgate, Harry Kane, Jordan Pickford dan Kieran Trippier dapat membeli-belah tanpa perlu bersusah-payah di sekitar tempat tinggal mereka.

Imej Kane menghiasi ruang di kedai Chingford di Lidl, hanya beberapa batu berhampiran sekolah lama pemenang Kasut Emas Piala Dunia Russia itu, manakala pengurus, Southgate, mendapat petak khas di kota kelahirannya, Crawley.

Di sebelah utara, Pickford mendapat ruang khusus di Washington serta Trippier di Bury. Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lidl UK, Christian Hartnagel, berkata kakitangan kedai di seluruh negara bersedia untuk memberikan barisan bintang England sambutan hangat.

"Kami gembira dapat menunjukkan penghargaan kami kepada Gareth dan pasukan England yang luar biasa dengan meraikannya di pasar raya Lidl berdekatan mereka," katanya.

"Sebagai Pasar Raya Rasmi Pasukan Bolasepak England, kami telah menyokong pemain selama beberapa tahun ini dan seperti yang lain, kami turut sangat berbangga dengan apa yang telah mereka capai."