Aplikasi e-dompet tempatan, Boost menyasar dapat menarik kira-kira empat juta pengguna menjelang akhir tahun ini.

Sejak dilancarkan pada Januari tahun lepas, 2.5 juta pengguna telah memuat turun aplikasi berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Christopher Tiffin berkata, apa yang penting ialah memastikan pelanggan menggunakan Boost untuk berurus niaga dengan mudah dan mengalami pengalaman yang menyeronokkan dalam setiap transaksi.

"Kami mempunyai ciri-ciri yang unik untuk pengguna, lebih daripada hanya e-dompet, tetapi juga mendigitalkan gaya hidup mereka sehari-hari," katanya kepada pemberita pada taklimat mengenai ciri-ciri terkini aplikasi itu di sini, Rabu.

Ciri-ciri baharu berkenaan termasuk membolehkan pengguna membuat bayaran tempat letak kereta di kebanyakan jalan utama di sekitar Lembah Klang dan membayar bil utiliti mereka dengan rakan kerjasama seperti Telekom Malaysia, Astro dan Syabas.

Boost juga memperkenalkan ciri utama yang membolehkan pengguna menyalurkan sumbangan kepada organisasi amal termasuk Tabung Harapan Malaysia dan Tabung Bersamamu oleh Media Prima.

Selain itu, hingga akhir Syawal, bagi setiap ganjaran 'shake' (ciri-ciri tunai balik e-dompet) ke-10, Boost akan mendermakan RM1 kepada Tabung Harapan Malaysia.

Bagi menyemarakkan lagi bahang Piala Dunia 2018, Boost turut memperkenalkan 'Boost Cup 2018', permainan meneka pemenang setiap perlawanan sempena Piala Dunia FIFA di mana pengguna berpeluang memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM90,000 dalam 'Boost Wallet' mereka.

-- BERNAMA