Masyarakat memilih untuk membeli baju dan kelengkapan Hari Raya Aidilfitri di lokasi yang menawarkan harga berpatutan dan rekaan terkini.

Antara lokasi yang dipilih di ibukota adalah di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) dan kompleks membeli belah di sekitarnya.

Tinjauan Astro AWANI mendapati orang ramai mula memenuhi lokasi tersebut seawal jam 11 pagi.

Menurut seorang pelajar, Farah Che Lamin, terdapat banyak pilihan di Jalan TAR berbanding pilihan yang dijual di atas talian.

“Di sini kita boleh mencuba pakaian dan dapat bandingkan kualiti. Kadar harganya murah berbanding dengan tahun lepas dan pakaianya adalah mampu milik.

“Terdapat juga promosi baju percuma dengan pembelian baju raya untuk seisi keluarga atau potongan harga yang berbaloi,” katanya semasa ditemui di sini hari ini.

Dalam pada itu, pekerja swasta Muhammad Maglin Muhammad Ramli menjelaskan, jalan TAR menawarkan banyak pilihan selain corak yang terkini.

“Di sini terdapat banyak pilihan, bukan satu kedai atau dua kedai. Saya tengok corak pun banyak juga dan sentiasa bertukar.

“Bukan corak sama yang diniagakan dalam setahun tetapi agak banyak juga. Kalau kita datang minggu ini, minggu depan sudah berlainan corak. Itu yang amat menyeronokkan.

“Sempena raya, kita selalu tengok-tengok sahaja, jadi kita menuju ke mana-mana kedai yang kita berkenaan dan membeli di situ sahaja,” ujarnya.

Sementara itu, pekerja awam Hasmizan Abdul Aziz yang datang dari Raub, Pahang berkata, dia dan keluarga memilih Jalan TAR kerana lokasi itu terkenal dengan harga yang berpatutan.

“Saya dari Raub, Pahang datang ke sini sebab memang dah tahu tempat ini terkenal untuk membeli belah pada tiap-tiap tahun.

“Datang ke sini memang untuk membeli baju raya. Kalau di tempat lain harganya tinggi sedikit tetapi rekaan di sini memuaskan hati,” jelasnya.

Pelajar, Nurul Amirah Akmal Nor berkata, Jalan TAR tetap menjadi destinasi membeli belah walaupun bukan pada musim perayaan.

“Walaupun berpuasa, kita tidak rasa penat. Memang seronok berjalan di Jalan TAR, tiada Jalan TAR di dunia selain di sini.

“Harga di sini kena ditinjau dahulu, kita tidak boleh pergi satu kedai dan membuat pilihan untuk membeli. Kita kena selalu berjalan di sepanjang Jalan TAR, kemudian kita boleh membandingkan perbezaan harga dan kualiti kerana takut tertipu. Kita kena pandai memilih,” tegasnya.

Walaupun terpaksa bersesak, orang ramai tetap memilih Jalan TAR sebagai destinasi membeli persiapan Hari Raya selain menggamit kenangan lokasi membeli belah sejak berpuluh tahun sebelum ini.