Survival syarikat akhbar dan kelaziman sesetengah pembaca surat khabar khususnya generasi berusia terhadap rutin mendapatkan berita melalui naskhah fizikal, menjadi fokus jalan cerita iklan hari raya akhbar Kosmo!.

Menerusi iklan berjudul Surat Khabar Raya yang dilancarkan pada tengah hari Selasa itu, perhatian utamanya berpusat pada watak Tok Wan, seorang lelaki warga emas yang menjadi kemestiannya untuk membeli surat khabar di kedai runcit setiap hari bagi mendapatkan berita semasa.

Iklan berdurasi sekitar 6 minit itu antara lain menyelitkan tentang sentimen pembaca setia yang masih merasakan bahawa amalan membeli surat khabar, membelek dan membaca daripada helaian fizikal sesuatu yang bermakna.

Kebiasaan itu bagaimanapun bertembung dengan perubahan dalam dunia penyampaian berita masa kini, iaitu kebangkitan platform digital.

Selain membawakan kisah yang dekat dengan gaya hidup pembaca, terdapat satu baris naratif yang menyebut: "Kalau tutuplah syarikat surat khabar kat Malaysia ni, tak tahulah..."

Ia dipercayai ada kaitan secara langsung tentang realiti serta pahit getir kelangsungan hayat syarikat penerbitan surat khabar di mana-mana saja, malah di seluruh dunia, tentang kepesatan arus digital yang sedikit sebanyak menjejaskan operasi dari segenap sudut.

Pembikinan iklan raya Kosmo! itu adalah inisiatif pasukan digital TV Kosmo! yang bertitik tolak daripada idea asal Pengarang Hiburan akhbar itu, Tengku Suzana Raja Hamat.

Menjalani penggambaran di Kampung Kuantan, Klang, Selangor, ia mengambil masa pra-produksi selama seminggu sebelum menjalankan penggambaran selama tiga hari, seterusnya diikuti proses suntingan selama empat hari.

Iklan berkenaan dijayakan sepenuhnya oleh warga Kosmo! termasuk pengarahnya, Haikal Raman. Cuma pembawa peranan Tok Wan, iaitu bekas pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr. Baharuddin Mat Asek, merupakan bakat luar yang diambil berlakon.

“Iklan raya Kosmo! itu berkisar me­ngenai surat khabar yang masih relevan di negara ini kerana mempunyai pembacanya tersendiri walaupun dengan kemunculan media digital dan peralihan arus perdana,” jelas Pengarang Online Kosmo!, Siti Kamilah Mustapha.

Kosmo! merupakan akhbar yang paling pantas berkembang sejak tahun 2004 dengan edaran jualan sekitar 130,000 naskhah sehari, sekali gus meletakkannya sebagai akhbar bahasa Melayu nombor satu negara.