Bila dah lapar macam-macam perkara boleh jadi…

Seorang pramugari yang bertugas dengan syarikat penerbangan Urumqi Air di China digantung kerja serta-merta kerana sebuah video memaparkan aksinya menikmati makanan yang disediakan untuk penumpang tular di media sosial.

Klip itu dirakam oleh rakan setugasnya sewaktu penerbangan dijadual mendarat dalam tempoh 45 minit di Yinchuan City, barat laut China.

Pramugari yang tidak didedahkan identiti itu kelihatan tidak mengendahkan tindakan rakannya sewaktu rakaman dilakukan.

Susulan itu, pengguna laman sosial media terkenal di China, Weibo, meminta syarikat penerbangan itu memberi penjelasan berhubung perkara tersebut dan ramai juga mempersoal tahap kebersihan yang diamal syarikat penerbangan berkenaan.

Urumqi Air mengeluarkan kenyataan pramugari tersebut telah digantung serta-merta dari semua penerbangan.

Menerusi kenyataan sama, mereka menyatakan makanan yang dimakan itu merupakan makanan yang sepatutnya dibuang namun pramugari itu bertindak sebaliknya.

Syarikat itu juga meminta maaf dan berjanji akan menyiasat kejadian itu sepenuhnya.