PADA Isnin, dunia hiburan dikejutkan dengan berita perceraian pelakon sensasi Hollywood Brad Pitt dan Angelina Jolie.

Berita mengejutkan itu telah menarik perhatian ramai, dan tidak kurang juga yang mengambil kesempatan daripadanya.

Terbaharu, status bujang aktor terkenal itu digunakan sebagai strategi pemasaran syarikat penerbangan Norwegian Airlines.

Syarikat penerbangan itu menerbitkan dua iklan yang memaparkan tiket berharga murah dari Oslo, Norway ke Los Angeles, Amerika Syarikat di mana terletaknya Hollywood yang merupakan lokasi popular bintang-bintang ternama, termasuk Pitt.

Iklan itu secara tidak langsung mempromosi destinasi tersebut agar peminat boleh 'mencari' Pitt di bandar itu.

Salah satu iklan itu tertera “Brad is single” (Brad sudah bujang), manakala satu lagi iklan pula tertera “Actor. LA. Newly Single” (Pelakon. LA. Kembali bujang).



Kedua-dua iklan berkenaan mendapat pujian netizen yang melihatnya sebagai lucu. Malah, ada juga yang beranggapan ia satu strategi pemasaran yang bijak.





Pasangan A-list itu telah hidup bersama sejak 2004 dan berkahwin pada 2014.

Namun, pada Isnin, isterinya Angelina Jolie memfailkan penceraian daripada Pitt serta menuntut hak penjagaan kesemua enam anak mereka.

Portal berita CNN melaporkan Jolie turut menuntut untuk mendapatkan hak menyimpan beberapa barang kemas dan barangan peribadi, serta pendapatan selepas mereka mula berpasangan dan aset-aset tertentu yang akan dikemukakan nanti.