Sambutan Hari Malaysia ke-51 peringkat Sabah hari ini disambut secara sederhana namun penuh bermakna di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Kota Kinabalu di Likas, di sini.

Program anjuran Kementerian Belia dan Sukan negeri itu menyaksikan perhimpunan lebih 5,000 orang terdiri daripada golongan belia, penjawat awam dan orang awam.

Sambutan dimulakan dengan acara memeriksa kawalan kehormat oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di perkarangan dewan.

Turut hadir, isteri Juhar, Toh Puan Norlidah RM Jasni, Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Menteri Belia dan Sukan negeri Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan merangkap pengerusi jawatankuasa induk sambutan dan barisan Kabinet negeri.

Pada sambutan itu, seramai 51 pemimpin belia daripada pelbagai etnik yang lahir pada 16 Sept membaca ikrar Rukun Negara diikuti persembahan lagu-lagu patriotik, deklamasi puisi dan nyanyian koir lagu 'Warisan' dan 'Inilah Barisan Kita'.

Ini disusuli upacara perbarisan membabitkan 26 kontinjen badan beruniform yang terdiri daripada 1,456 anggota.

Di samping itu, turut diadakan Pameran Koleksi Gambar Hari Malaysia, Pameran Gambar Yang Dipertua Negeri Sabah sejak 1963 hingga sekarang, Pameran Gambar dan Artikel Sejarah Kemerdekaan Sabah dalam Malaysia.

Sambutan Hari Malaysia Ke-51 peringkat kebangsaan tahun ini akan berlangsung di Bandaraya Miri, Sarawak, malam ini.

Pada 16 Sept 1963, Sarawak dan Sabah menyertai Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk Persekutuan Malaysia.