Perkhidmatan kesihatan awam yang disediakan kerajaan perlu dipertingkatkan itu pandangan majoriti orang ramai yang mengundi dalam satu tinjauan online.

Undian itu adalah sebahagian daripada kajian mingguan Astro AWANI mengenai beberapa topik untuk Bajet 2014 yang bakal dibentangkan bulan hadapan.

Minggu lalu, astroAWANI.com bertanya kepada pembaca mengenai pandangan mereka terhadap perkhidmatan kesihatan awam yang disediakan kerajaan.

41% pengundi berpendapat perkhidmatan yang ditawarkan sekarang terlalu ketinggalan dari segi kepakaran dan kemudahan.

Manakala 36% dari jumlah itu merasakan perkhidmatan kesihatan awam yang disediakan kerajaan adalah biasa sahaja.

A

Sementara itu, apabila ditanya apa yang perlu diperbaiki dalam perkhidmatan kesihatan awam, seramai 47% telah bersetuju bahawa tempoh menunggu bagi rawatan dan pemeriksaan lanjutan di hospital awam perlu dipermantapkan.

Seramai 33% pula menyatakan hospital awam perlu memperbanyakkan pakar yang berkebolehan dan doktor yang mahir.

A

Apabila ditanya bagaimanakah cara untuk mendapat dan mengekalkan doktor dari berpindah ke perkhidmatan swasta pula, seramai 31% bersetuju agar diberikan manfaat yang lebih kepada para doktor seperti pelan persaraan, jadual kerja dan lain-lain.

Selain daripada itu, 30% mahukan doktor-doktor kerajaan diberikan gaji yang lebih agar mereka lebih tertarik untuk kekal berkhidmat di hospital awam.

Pemberian rebat cukai untuk pembelajaran pengkhususan kepakaran juga menerima sambutan daripada pengundi iaitu 29% daripada mereka ingin melihat perubahan tersebut.

A


Dalam topik yang sama, laman portal http://www.1malaysia.com.my/bajet2014 turut memuatnaik suara rakyat berkenaan perkhidmatan kesihatan di Malaysia.

“Menaik taraf perkhidmatan hospital kerajaan dengan membina dan menstruktur semula hospital-hospital kerajaan (buat bangunan tinggi- jimat ruang, banyakkan parking, buat satu level satu jabatan)” -Lena Farida

“Ibu yang bekerja yang bersalin diberikan kemudahan cuti bersalin antara satu hingga satu setengah tahun bagi seorang anak seperti yang diamalkan di luar negara. Faedahnya ialah dapat menggalakkan ibu-ibu supaya menyusukan anak dengan susu badan dalam tempoh tersebut (dapat mengurangkan kos membeli susu tepung). Selain itu, ibu-ibu dapat menjaga anak sendiri (tidak perlu menghantar bayi mereka ke taska/pengasuh dalam usia yang masih bayi)dan mengurangkan kes kematian bayi di taska” - Aleen

“Lebih banyak pusat/klinik/hospital untuk rawatan kesuburan diwujudkan. Kebanyakan pesakit pergi mandapatkan rawatan di hospital swasta kerana kekurangan pakar di hospital kerajaan” - Norshahidah

“Suntikan Vaksin Pneumokokal percuma kepada kanak-kanak. Jangkitan bakteria ini boleh mengakibatkan beberapa penyakit lazim seperti jangkitan saluran pernafasan termasuk Otitis Media, Sinusitis dan jangkitan paru-paru (Pneumonia). Vaksin Pneumokokal masih belum diwajibkan berbanding negara maju lain seperti di Amerika dan Eropah. Vaksin ini sebagai pengiktirafan Wawasan 2020” - Mohamed