KUALA LUMPUR: 11 syarikat Malaysia yang menyertai Gulfood 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini di bawah Program Eksport Perniagaan (BEP) merekodkan potensi jualan bernilai AS$72.525 juta (RM318.515 juta).

BEP dilaksanakan melalui agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), SME Bank.

Gulfood 2023 yang merupakan pameran perdagangan makanan dan minuman (F&B) terbesar dunia telah diadakan bermula 20 hingga 24 Februari 2023.

KUSKOP berkata, potensi jualan dicatatkan tersebut melepasi sasaran ditetapkan iaitu sebanyak RM10 juta, ia selain itu turut berjaya memperoleh tempahan pembekalan dari pelbagai negara sepanjang tempoh acara berlangsung.

“Semasa misi Gulfood 2023 ini, syarikat Akifcafe Coffee Industries Sdn. Bhd. telah menandatangani Memorandum Persefahaman RM2.5 juta untuk membekalkan kopi pra campuran bagi syarikat Grand Hypermarket Dubai.

“Penyertaan pertama kali usahawan-usahawan di bawah bimbingan KUSKOP di Gulfood 2023 jelas membuktikan Gulfood merupakan salah satu platform hebat dalam menonjolkan pelbagai rangkaian produk halal F&B usahawan-usahawan Malaysia yang berkualiti, inovatif dan berdaya saing untuk pembeli di Dubai serta negara-negara serantau Timur Tengah dan Afrika Utara,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

11 syarikat yang menyertai Gulfood 2023 adalah Tisha Food Manufacturing Sdn. Bhd., Akifcafe Coffee Industries Sdn Bhd, World Marketing Work Sdn Bhd, Bayu Gagah Marketing (M) Sdn. Bhd., SHRF Food Industries Sdn. Bhd., CSM Dairy Success Sdn. Bhd., Azaib Holdings Sdn. Bhd., SD Impex Sdn. Bhd., AW Manufaturing Sdn. Bhd., The Boom Beverage Sdn. Bhd. dan Zhafou Global Sdn. Bhd.