ALOR GAJAH: Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kes Datuk Seri Najib Razak dibawa untuk dipertimbangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 2023 kerana tidak mahu menafikan hak bekas Perdana Menteri itu mengemukakan rayuan.
Sebagai Perdana Menteri, Anwar berkata beliau tidak sanggup dianggap menganiaya sesiapa.
Selain itu, jelas Anwar, sebagai pemimpin negara beliau perlu menghormati peruntukan Perlembagaan yang memberikan hak kepada banduan mengemukakan rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Dalam Perlembagaan negara kita, setiap banduan berhak mengemukakan rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dipertimbangkan.
“Kalau saya tak bagi, saya nafikan hak dia. Hak apa? Hak tahanan rumah? Tidak. Hak bebas? Tidak.
"... (sebaliknya) hak diberi pertimbangan oleh Lembaga Pengampunan dan di bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong.
“Sekarang ada kawan-kawan saya kata; “Tengok Anwar yang buat ini. Dia khianat." Kalau aku tak buat, aku khianat. Aku buat, aku khianat. Ini apa dia? Kalau saya tak buat,” katanya ketika berucap pada Pesta Melaka Rumah Kita di sini pada Khamis.
Berucap lanjut, Anwar berkata, keputusan membawa perkara itu ke Lembaga Pengampunan bukan bermakna beliau bersetuju memberikan pengampunan atau tahanan rumah kepada Najib, sebaliknya ia sebahagian proses yang perlu dihormati.
Mengenai cadangan tahanan rumah, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, beliau ketika itu berpandangan masyarakat mungkin belum bersedia menerima keputusan sedemikian, khususnya dalam konteks usaha kerajaan memerangi rasuah.
“Saya kata, mungkin masyarakat kita belum bersedia. Sebab kita perang lawan rasuah ini. Kita tak mahu bagi mesej yang salah.
“Tapi Tuanku Yang di-Pertuan Agong, kerana atas ihsan Tuanku dan telah menimbangkan semua faktor, baginda titah, ‘Bagi tahanan rumah.’ Kita patuh. Itu kuasa Agong, bukan kuasa Perdana Menteri,” ujarnya lagi.
Beliau turut menjelaskan bahawa proses berkenaan bukan hanya diberikan kepada Najib, sebaliknya rayuan banduan lain juga melalui pertimbangan sewajarnya.
Dalam masa sama, Perdana Menteri mempertahankan tindakan Peguam Negara yang mengambil masa mendapatkan pengesahan berhubung keputusan berkenaan tahanan rumah Najib.
Menurut beliau, tindakan itu dibuat bagi memastikan proses undang-undang dilaksanakan dengan betul.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa memerintahkan Najib menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International menerusi kaedah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta di ibu negara yang berkuat kuasa serta-merta.