25,000 pelatih bakal terima manfaat menerusi LiKES - Ramanan

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan (tengah) bergambar bersama badan korporat TalentCorp pada sesi taklimat korporat sempena lawatan rasmi ke TalentCorp hari ini. - Foto Bernama
PETALING JAYA: Sejumlah 25,000 pelatih bakal menerima manfaat menerusi Geran Padanan Latihan Industri Kecil dan Sederhana (LiKES), iaitu inisiatif kerajaan bagi memperkasakan latihan industri dan kebolehpasaran belia.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan berkata proses kelulusan LiKES kini dipercepat kepada 14 hari bekerja berbanding 90 hari sebelum ini, selain pengenalan bayaran pendahuluan RM2,000 bagi setiap syarikat yang layak.
Beliau berkata program itu dilaksanakan menerusi Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dengan konsep bayar dan tuntut melibatkan peruntukan RM30 juta bagi tempoh tiga tahun sejak 2024.
"Bayaran RM2,000 akan mula disalurkan bermula 1 Mac dan syarikat boleh menerima pembayaran dalam tempoh 14 hari bekerja tertakluk kepada syarat ditetapkan TalentCorp.
"Jadi, perusahan kecil dan sederhana serta syarikat pemula patut mengambil peluang ini. Saya rasa ia satu peluang sangat baik untuk dimanfaatkan pelatih kerana mereka berpeluang melatih diri bagi persiapan lebih baik serta meningkatkan kemahiran," katanya pada sidang media selepas lawatan ke ibu pejabat TalentCorp di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp Wong Shu Qi dan Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan TalentCorp Edward Ling.
Sementara itu, Ramanan berkata pelaksanaan Akta Pekerja Gig yang diwartakan 31 Dis lepas, dijangka diputuskan dalam masa terdekat.
Beliau berkata walaupun pihaknya sudah merangka kandungan akta itu, tetapi pelaksanaannya masih dalam perbincangan termasuk peruntukan tambahan RM100 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, menerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).
Mengulas mengenai peruntukan RM50 juta bagi naik taraf Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang turut diumumkan Anwar semalam, Ramanan berkata pihaknya akan mengumumkan tender terbuka secara berfasa mengikut sekolah apabila proses awal selesai.
"Terdapat enam sekolah diumumkan sebelum ini, dengan lima berada di bawah senarai Yayasan Didik Negara (YDN). Untuk mulakan kerja-kerja baik pulih, kena tunggu BQ (senarai kuantiti), seperti SJKT Klebang, untuk proses tender terbuka," katanya atas kapasiti menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal masyarakat India.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


