Ringkasan AI
- Cadangan penubuhan Tribunal Hak Asasi Manusia berada pada peringkat akhir dan rang undang-undang dijangka dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi.
- Tribunal ini bertujuan memperkukuh penguatkuasaan syor Suhakam serta mengurangkan kos guaman kepada rakyat biasa.
- Cadangan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta had tempoh Perdana Menteri juga dijangka dibentang pada persidangan Parlimen akan datang.
KUALA LUMPUR: Cadangan penubuhan Tribunal Hak Asasi Manusia untuk memperkukuh penguatkuasaan syor Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) kini berada pada peringkat akhir, dengan rang undang-undang berkaitan dijangka dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata tribunal itu penting bagi memastikan laporan dan syor yang dikemukakan oleh Suhakam dapat dikuatkuasakan dengan berkesan tanpa membebankan orang ramai dengan kos guaman yang tinggi.
"Negara lain mempunyai Tribunal Hak Asasi Manusia dan kita juga kini berada pada peringkat akhir berkaitan dengan perkara itu. Kita berharap mempunyai masa yang mencukupi, melainkan Parlimen dibubarkan lebih awal, untuk melaksanakannya dan membawa undang-undang yang diperlukan untuk mewujudkan tribunal itu supaya rakyat mendapat manfaat.
"Penubuhannya tidak memerlukan kos yang tinggi dan penyelenggaraannya sangat berpatutan. Jika negara lain mempu melaksanakannya, mengapa kita tidak boleh?" katanya dalam ucaptama pada Forum Undang-Undang Malaysia 2026 di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), di sini pada Jumaat.
Kulasegaran berkata Suhakam telah mengemukakan banyak laporan selama ini, namun sebahagian besarnya tidak mendapat perhatian sewajarnya, termasuk di Parlimen.
"Selama bertahun-tahun, saya mendapati mereka telah mengemukakan begitu banyak laporan Suhakam. Ramai antara kita yang tidak mempunyai masa untuk menelitinya. Kita meminta pembantu pejabat meletakkan laporan itu di dalam kereta dan membawanya ke pejabat. Kita tidak mempunyai masa untuk membacanya.
"Bagaimanapun, ramai yang terjejas oleh isu ini, ramai yang mahukan perubahan dan laporan Suhakam ini amat penting," katanya.
Beliau berkata perbincangan tentang laporan Suhakam juga meraih perhatian lebih besar di bawah Kerajaan MADANI, yang memperuntukkan masa khusus di Parlimen bagi membolehkan perkara itu dibahaskan.
Kulasegaran berkata kekurangan mekanisme penguatkuasaan masih menjadi halangan utama, sambil menyatakan bahawa membawa kes hak asasi manusia melalui sistem mahkamah konvensional, dari Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Persekutuan, kedua-duanya mengambil masa yang lama dan memerlukan kos yang tinggi bagi rakyat biasa.
Berkaitan dengan reformasi undang-undang lain, beliau berkata cadangan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, serta cadangan untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada 10 tahun juga berada pada peringkat akhir dan dijangka diteruskan pada persidangan Parlimen akan datang.
"Berdasarkan perkara yang saya tahu dan hasil perbincangan dalaman, saya percaya hal itu akan diluluskan pada persidangan Parlimen akan datang. Ini merupakan langkah yang baik," katanya.
Sementara itu, Kulasegaran berkata kerajaan sedang meneliti cadangan memperkenalkan Akta Keupayaan Mental bagi mengawal selia pengurusan dan pengagihan dana milik individu yang tidak mempunyai keupayaan mental untuk mengurus hal ehwal mereka sendiri.
Beliau berkata undang-undang yang dicadangkan itu akan menyediakan kerangka perundangan yang lebih jelas, termasuk perlindungan pada pampasan yang diterima oleh individu atau keluarga mereka.
Kulasegaran berkata perbincangan mengenai cadangan Akta Khairat juga berada pada peringkat akhir selepas berlangsung selama tiga tahun.
Walaupun Malaysia sudah mempunyai Akta Pemegang Amanah, beliau berkata undang-undang khusus untuk mengawal selia dan mentadbir badan kebajikan juga sama pentingnya.
-- BERNAMA