PARIS: Bekas Perdana Menteri Perancis Dominique de Villepin, pada Jumaat mengumumkan hasrat untuk bertanding dalam pilihan raya presiden 2027, lapor Xinhua.
Ketika mengumumkan pencalonannya pada sidang media di Paris, de Villepin berkata Perancis sedang berdepan pelbagai cabaran dan beliau merangka program politik yang bertujuan untuk "memulihkan" peranan Presiden Perancis sebagai "pengimbang" dan "pembimbing" dalam kehidupan politik negara itu.
De Villepin berkhidmat sebagai Perdana Menteri di bawah pentadbiran Jacques Chirac dari 2005 hingga 2007 dan menubuhkan gerakan politiknya, "Humanist France" (LFH), pada Jun 2025.
Pada 2003, menjelang pencerobohan ke atas Iraq yang diketuai Amerika Syarikat (AS), de Villepin yang ketika itu merupakan Menteri Luar Perancis menyampaikan ucapan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membantah campur tangan ketenteraan di Iraq. Ucapan itu mendapat pujian meluas.
Ucapan berkenaan dianggap sebagai antara kemuncak kejayaan diplomasi Perancis.
Pusingan pertama pilihan raya presiden Perancis 2027 dijadualkan berlangsung pada 18 April manakala pusingan kedua, jika diperlukan, ditetapkan pada 2 Mei.
-- BERNAMA-XINHUA