Skip to main content

Dunia

Jepun setuju beli hingga 8 juta tong minyak mentah Arab Saudi untuk tambah rizab

Perjanjian itu turut memperluas kapasiti penyimpanan minyak yang tersedia untuk Arab Saudi di Jepun.
Perjanjian itu turut memperluas kapasiti penyimpanan minyak yang tersedia untuk Arab Saudi di Jepun.
Advertisement

ISTANBUL: Jepun bersetuju membeli sehingga lapan juta tong minyak mentah Arab Saudi bagi menambah semula rizab petroleum negaranya sekiranya keadaan pasaran mengizinkan, menurut kedua-dua negara pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi yang memetik Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Perjanjian itu turut memperluas kapasiti penyimpanan minyak yang tersedia untuk Arab Saudi di Jepun.

Menurut kenyataan bersama yang disiarkan SPA, Arab Saudi yang ketika ini mempunyai akses kepada kapasiti penyimpanan sebanyak lapan juta tong akan diberikan penggunaan sementara kemudahan penyimpanan berkapasiti 16 juta tong.

Advertisement

Kenyataan itu memaklumkan bahawa Arab Saudi sudah mula menambah semula stok minyak mentah di kemudahan penyimpanan di Jepun.

Menteri Tenaga Arab Saudi Putera Abdulaziz bin Salman dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun Ryosei Akazawa mencapai persetujuan itu dalam mesyuarat secara maya.

Advertisement

Kedua-dua menteri turut menegaskan semula komitmen mereka terhadap kerjasama dalam menjamin keselamatan tenaga jangka panjang.

Jepun merupakan antara negara pengimport minyak yang menggunakan rizab kecemasan ketika perang antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran mengganggu penghantaran minyak melalui Selat Hormuz.

Aliran minyak daripada negara pengeluar di Teluk sejak itu kembali pulih kepada paras hampir menyamai keadaan sebelum perang, sekali gus memberi peluang kepada pembeli untuk menambah semula stok simpanan yang semakin berkurangan.

Bagi Arab Saudi, penyimpanan minyak mentah di Jepun membolehkan bekalan ditempatkan lebih dekat dengan pelanggan di Asia serta tersedia sekiranya penghantaran melalui Selat Hormuz terganggu sekali lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Saudi Aramco Amin Nasser berkata bulan lepas Arab Saudi telah mengadakan rundingan dengan kerajaan asing bagi membolehkan syarikat minyak milik kerajaan itu mendapat akses kepada kemudahan penyimpanan strategik mereka.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement