Skip to main content

Politik

24 ADUN BN, PN Negeri Sembilan sepakat patuhi keputusan pucuk pimpinan

Mohamad berkata dua ADUN Mohd Fairuz Mohd Isa (Serting) dan Datuk Razali Abu Samah (Sikamat) kini berada di luar negara, turut menyatakan sokongan penuh atas apa jua keputusan malam tadi. - Foto BERNAMA
Mohamad berkata dua ADUN Mohd Fairuz Mohd Isa (Serting) dan Datuk Razali Abu Samah (Sikamat) kini berada di luar negara, turut menyatakan sokongan penuh atas apa jua keputusan malam tadi. - Foto BERNAMA

Ringkasan AI

  • Seramai 24 daripada 25 ADUN BN dan PN Negeri Sembilan sepakat akur arahan pucuk pimpinan untuk selesaikan kemelut politik negeri.
  • Dua ADUN yang berada di luar negara turut menyatakan sokongan penuh, manakala Menteri Besar Ismail Lasim tidak hadir mesyuarat khas tersebut.
  • Istana Negeri Sembilan menegaskan Ismail Lasim mesti buktikan sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri bagi menentukan kedudukannya sebagai Menteri Besar.
Advertisement

SEREMBAN: Sebanyak 24 daripada 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, mencapai kata sepakat untuk akur dan mematuhi sebarang arahan pucuk pimpinan serta ketetapan parti, bagi menyelesaikan kemelut politik yang sedang melanda negeri itu.

Pengerusi BN Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kesepakatan itu dicapai dalam satu perjumpaan khas yang berlangsung di Wisma UMNO Negeri Sembilan, di sini malam tadi.

“Dalam perjumpaan khas ini, kesemua ADUN mencapai kata sepakat untuk akur dan patuh atas apa jua arahan pucuk pimpinan dan ketetapan parti termasuk ADUN PN.

Advertisement

“Ini bagi memastikan segala kemelut politik sedang melanda di negeri ini, dapat diselesaikan segera demi kestabilan dan kemakmuran rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN, mempengerusikan mesyuarat tersebut yang bermula 9 malam tadi berlangsung lebih dua jam.

Advertisement

Mohamad berkata dua ADUN Mohd Fairuz Mohd Isa (Serting) dan Datuk Razali Abu Samah (Sikamat) kini berada di luar negara, turut menyatakan sokongan penuh atas apa jua keputusan malam tadi.

Namun ADUN Juasseh merangkap Menteri Besar Datuk Ismail Lasim tidak hadir pada mesyuarat itu.

Pada sidang medianya awal semalam, Ismail berkata Tuanku Muhriz telah menitahkan beliau untuk terus menjalankan tugasnya, bagi memastikan kelangsungan dalam pentadbiran negeri.

Beliau juga menjelaskan bahawa beliau tidak menyerahkan mahupun mengizinkan penyerahan surat peletakan jawatan tersebut kepada Tuanku Muhriz, sambil menyatakan bahawa surat itu telah disimpan oleh kepimpinan partinya.

Susulan itu, Istana Negeri Sembilan pada Jumaat menjelaskan bahawa mereka tidak meminta Datuk Ismail Lasim untuk kekal sebagai Menteri Besar, sambil menegaskan bahawa beliau mesti membuktikan sokongan majoriti yang berterusan di dalam Dewan Undangan Negeri, bagi menentukan kedudukannya selaras dengan konvensyen dan peruntukan perlembagaan.

Pengelola Bijaya Diraja Datuk Azizi Mohamad Ali berkata perkara itu memerlukan penyelesaian, susulan majlis menghadap Ismail ke atas Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap, pagi Jumaat.

Kontroversi mengenai kedudukan Ismail timbul pada malam Isnin (16 Nov), apabila Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi BN, mengumumkan bahawa Menteri Besar itu telah meletak jawatan.

Zambry berkata Pengerusi BN dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menerima salinan surat peletakan jawatan, yang didakwa dialamatkan dan dihantar kepada Tuanku Muhriz.

Pada hari Selasa, pihak istana menjelaskan bahawa peletakan jawatan seseorang Menteri Besar hanya akan berkuat kuasa dengan perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan Perlembagaan Negeri.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement