Genap setahun pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Malaysia, ramai memuji usaha Jabatan Kastam untuk memastikan pergerakan lancar bagi GST.

Berikut lima fakta mengenai GST selepas setahun pelaksanaan:


1) Aduan berkurangan

Jumlah aduan mengenai GST menurun secara mendadak selepas setahun pelaksanaannya.

Menurut Pengarah Hernancres Tax Consultancy Sdn Bhd, Desmond Anil, ini menandakan masyarakat dan perniagaan di Malaysia kini lebih memahami pelaksanaan GST.

"Masyarakat kini menerima model GST dengan lebih baik dan mereka turut memahaminya.

"Pengguna dan peniaga telah berusaha untuk memahami model ini dan kastam turut melakar pelan pelaksanaan yang berjaya," kata Desmond.


2) Tiga tahun dijangka diperlukan bagi kelancaran pelaksanaan GST

Desmond turut membayangkan pelaksanaan GST di Malaysia masih berdepan tempoh sukar.

Beliau menjangka GST akan berjalan lancar hanya selepas tiga tahun.

Dalam masa 17 bulan sebelum pelaksanaan GST pada 2015, Jabatan Kastam telah mengadakan banyak program untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman terhadapnya.

Tambah beliau, Jabatan Kastam dan peniaga harus bekerjasama untuk merapatkan jurang komunikasi supaya memahami kekurangan dan kelebihan GST.

Ini seterusnya akan menambah baik pelaksanaan cukai tersebut.


3) 400,000 syarikat berdaftar bagi GST setakat 2015

Terdapat 400,000 syarikat berdaftar bagi GST setakat akhir 2015.

Desmond berkata angka ini tidak melihat peningkatan mungkin disebabkan kekurangan kesedaran oleh syarikat di Malaysia.

"Kebanyakkan daripada mereka takut dengan kerja-kerja yang melibatkan pematuhan yang tinggi," kata Desmond.

Beliau turut berkata terdapat banyak manfaat jika syarikat berdaftar bagi GST.

Manfaat utama bagi pengguna serta peniaga ialah ketelusan yang sentiasa perlu dipatuhi syarikat berdaftar.


4) Pengguna tetap berhati-hati dengan perbelanjaan

Biarpun selepas setahun pelaksanaan GST, pengguna kekal berhati-hati dalam perbelanjaan mereka.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sentimen dalam kalangan pengguna ini dijangka berterusan.

Ketika ini katanya, kadar inflasi setakat Februari 2016 dilihat tinggi pada kadar 4.2 peratus.

"Kita lihat juga Indeks Sentimen Pengguna (CSI) yang dikeluarkan pihak MIER pada suku keempat tahun lepas telah merudum 63.4 mata.

"CSI berada pada paras terendah dan dari situ juga kita boleh dapat menjangkakan bahawa sentimen para pengguna sangat lemah pada ketika ini," kata Afzanizam.


5) Sasaran GST 2016

Dalam masa yang sama, kerajaan turut sasar mengutip RM39 billion hasil GST tahun ini, berbanding RM27 bilion yang dicatatkan pada 2015.

Pemerhati dan pakar ekonomi melihat pelaksanaan GST sebagai pembantu menampan hasil kerajaan yang terkesan akibat kejatuhan harga minyak mentah global.