Skip to main content

Dunia

Bos kartel dadah paling dikehendaki FBI ditahan dalam operasi berdarah di Mexico

Anggota Pengawal Kebangsaan Mexico berkawal di luar pejabat Pejabat Pendakwa Khas bagi Jenayah Terancang (FEMDO) di Mexico City selepas penahanan ketua kartel dadah, Fausto Isidro Meza Flores. - Foto REUTERS
Anggota Pengawal Kebangsaan Mexico berkawal di luar pejabat Pejabat Pendakwa Khas bagi Jenayah Terancang (FEMDO) di Mexico City selepas penahanan ketua kartel dadah, Fausto Isidro Meza Flores. - Foto REUTERS
Advertisement

MEXICO CITY: Seorang ketua kartel dadah Mexico yang tersenarai dalam 10 individu paling dikehendaki Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat diberkas dalam satu operasi khas yang bertukar menjadi pertempuran bersenjata di negeri Sinaloa.

Fausto Isidro Meza Flores, atau dikenali sebagai "Chapo Isidro", ditahan bersama tujuh individu lain oleh pasukan keselamatan Mexico di Guasave pada Jumaat.

Menurut pihak berkuasa Mexico, tujuh suspek terbunuh dalam operasi itu, manakala empat anggota tentera yang dihantar sebagai pasukan sokongan turut maut.

Advertisement

Meza Flores, yang didakwa mengetuai Kartel Guasave, dikehendaki di Mexico atas kesalahan jenayah terancang. FBI pula menuduhnya terlibat dalam penyeludupan fentanyl, kokain, heroin dan pelbagai dadah lain ke Amerika Syarikat.

Pihak berkuasa berkata operasi penahanan dijalankan berdasarkan maklumat risikan mengenai lokasi persembunyiannya, namun pasukan keselamatan berdepan serangan tembakan dan bahan letupan ketika cuba memasuki kawasan berkenaan.

Advertisement

Selain Meza Flores, pihak berkuasa turut menahan timbalannya yang juga sepupu beliau serta individu yang mengendalikan kewangan kartel tersebut.

Susulan penahanan itu, Konsulat Jeneral Amerika Syarikat di Hermosillo memaklumkan pihaknya sedang memantau laporan pertempuran bersenjata serta gangguan keselamatan di beberapa kawasan di Sinaloa dan menasihatkan rakyatnya supaya berwaspada.

Media antarabangsa melaporkan Amerika Syarikat sedang berusaha mendapatkan ekstradisi Meza Flores bagi menghadapi pertuduhan berkaitan pengedaran dadah.

Penahanan itu dilihat sebagai antara tindakan terbesar pihak berkuasa Mexico terhadap kartel dadah sejak kerajaan negara itu meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membendung jenayah berkaitan dadah dan penyeludupan rentas sempadan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement